Goncang leher anak sampai putus nyawa

Agensi
Januari 27, 2019 09:15 MYT
Yuichiro Kurihara didakwa menggoncang leher anaknya, Mia (10) dan memaksa mangsa mandi air sejuk. - Gambar hiasan
Polis di Noda di Jepun telah menahan seorang lelaki berusia 41 tahun kerana didakwa mendera anak perempuannya sehingga mati.
Yuichiro Kurihara didakwa menggoncang leher anaknya, Mia (10) dan memaksa mangsa mandi air sejuk.
Menurut polis, lelaki itu disyaki mendera anaknya pada antara jam 10 hingga 11.20 pagi (waktu tempatan) pada Khamis lalu.
Suspek kemudian menghubungi talian kecemasan 119 selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri dalam tab mandi.
Tambah polis, mangsa ditemui lengkap berpakaian dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kurihara yang ditahan semalam memberitahu polis dia bertindak memarahi mangsa kerana tidak menghargai kehidupan.
Semasa disoal siasat, Kurihara mengaku menarik rambut dan mencekik serta menggoncang badan mangsa.
Polis berkata, terdapat beberapa kesan lebam pada tubuh mangsa menunjukkan budak malang itu kerap didera bapanya.
Isteri suspek turut disoal siasat dan polis sedang menentukan sama wanita terbabit terlibat mendera mangsa atau tidak. - Agensi
#anak #Jepun #mangsa #mati #meninggal dunia #polis #suspek #wanita
;