Golongan petani Bulgaria protes lanjutan import makanan dari Ukraine

Astro Awani
September 20, 2023 08:40 MYT
Golongan petani mengadakan protes di Pernik, Bulgaria. - Foto REUTERS
PERNIK: Ratusan petani di seluruh Bulgaria mengadakan protes bagi membantah tindakan kerajaan untuk melanjutkan import bekalan makanan asas dari Ukraine.
Dakwa mereka, lanjutan import berkenaan bakal menjejaskan harga produk tempatan sekali gus menghambat rantaian pasaran barangan tempatan.
Protes berlaku selepas keputusan pada Khamis lalu oleh Ahli Parlimen Bulgaria untuk membenarkan import dari Ukraine dilanjutkan, dengan menyatakan larangan sebelum ini telah mengurangkan pendapatan cukai kerajaan dan menyebabkan kenaikan harga makanan.
Larangan ini termasuk pengimportan bunga matahari, gandum, jagung, serta minyak mentah, daging, buah-buahan dan sayuran, susu, madu, dan produk tenusu.
Sehari selepas itu, Kesatuan Eropah (EU) juga memutuskan untuk tidak memperbaharui larangan keseluruhan ke atas makanan Ukraine yang menuju ke lima negara anggota.
Tindakan EU itu merupakan salah satu usaha untuk melindungi Ukraine yang berdepan konflik penceroboh oleh Rusia.
Bagaimanapun, EU berdepan cabaran apabila Poland, Hungary dan Slovakia telah menyekat segala bentuk import makanan dari Ukraine.
Ketegangan meningkat setelah Rusia menghentikan perjanjian yang diatur oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu untuk menjamin penghantaran bijirin Ukraine yang selamat melalui Laut Hitam ke sebahagian dunia yang berdepan krisis bekalan makanan.
Justeru itu, Ukraine hanya boleh menggunakan laluan darat, keretapi, dan sungai yang lebih mahal di Eropah sebagai cara utama untuk mengeksport produk makanannya, walaupun ada beberapa pergerakan kapal yang terhad ke pelabuhannya.
#golongan petani #protes #lanjutan import bekalan makanan asas #Ukraine
;