Golongan gelandang ditawar tiket sehala percuma ke mana-mana destinasi di Eropah

Astro Awani
Mei 4, 2021 12:31 MYT
Tindakan tersebut mengundang kecaman daripada orang ramai dan badan bukan kerajaan yang menyifatkannya sebagai tidak beretika. - Gambar hiasan
PIHAK Berkuasa Tempatan di Basel, Switzerland menawarkan tiket sehala secara percuma kepada golongan gelandangan untuk berpindah ke mana-mana destinasi pilihan mereka di Eropah.
Namun mereka mesti menandatangani perjanjian untuk tidak kembali ke negara berkenaan.
Jurucakap Jabatan Kehakiman Basel, Toprak Yergu memberitahu portal berita 20 Minutes, golongan tersebut di bandar berkenaan boleh meminta baucar perjalanan serta wang tunai 20 francs Switzerland (RM90).
Mereka pula perlu menandatangani kontrak perjanjian untuk tidak pulang ke negara berkenaan selama tempoh yang ditetapkan.
"Penerima harus menandatangani kontrak untuk tidak pulang ke Switzerland selama tempoh yang ditetapkan.
"Jika mereka didapati melanggar kontrak tersebut, mereka berdepan tindakan pengusiran buat selama-lamanya," kata Yergu.
Setakat ini 31 individu telah mengambil tawaran tersebut, termasuk 14 individu yang berasal dari Romania dan tujuh dari Jerman, menurut laporan akhbar Le News.
Tindakan tersebut mengundang kecaman daripada orang ramai dan badan bukan kerajaan yang menyifatkannya sebagai tidak beretika.
Kerajaan Switzerland mengamalkan sikap tidak bertoleransi terhadap golongan gelandangan.
Pada Januari 2014, seorang wanita di Geneva dipenjara selepas gagal membayar denda sebanyak 500CHF (RM2,200) kerana meminta sedekah di jalan.
Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah membatalkan keputusan bandar tersebut dan menyatakan layanan terhadap wanita berkenaan tidak konsisten dengan matlamat melindungi hak asasi orang awam.
Pihak berkuasa tempatan kemudian diarah membayar sebanyak 922 Euro (AS$1,108) sebagai ganti rugi kepada wanita berkenaan, lapor Le News.
Pada September 2016, kerajaan tempatan Vaud meluluskan undang-undang yang tidak membenarkan orang ramai meminta sedekah di jalan.
Sehingga kini kumpulan hak asasi manusia serta pihak pembangkang sedang cuba untuk membatalkan undang-undang tersebut.
Usaha membawa perkara tersebut ke Tribunal Persekutuan, mahkamah tertinggi negara itu juga gagal, lapor Le News.
#gelandangan #tiket percuma #eropah #pindah #tiket sehala
;