GM menyatakan sokongan pelan pemulihan Opel

Agensi
April 11, 2013 06:43 MYT
General Motors (GM) mengesahkan komitmen kepada Opel, anak syarikatnya berpangkalan di Eropah yang kini berdepan masalah kewangan teruk.
GM turut menyatakan sokongan terhadap pelan pemulihan Opel dengan berjanji untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak 5.2 bilion dollar.
Ketua Pegawai Eksekutif GM, Dan Akerson berada di Jerman bagi membincangkan pelan pemulihan Opel.
Biarpun GM telah meluluskan pelaburan tambahan di Eropah menjelang 2016, Akerson tidak mengumumkan sebarang langkah penutupan kilang atau pelaksanaan terperinci untuk memperbaiki perolehan syarikat.
Opel berhasrat memperkenalkan 23 model dan 13 enjin baru sehingga 2016 dan pada masa sama membangunkan platform kereta kecil dengan rakan kongsi dari Perancis, Peugeot Citroen.
Pada 2009, GM berhasrat menjual Opel pada ketika gergasi permotoran Amerika itu melaksanakan penstrukturan syarikat namun memutuskan untuk mengekalkannya.
Opel kini berdepan masalah persaingan sengit dan kuasa beli pengguna yang rendah dalam pasaran kereta murah di Eropah.
Krisis hutang di Zon Euro mengakibatkan jualan kereta di seluruh rantau berkenaan merosot teruk.
#Dan Akerson #General Motors #GM #Opel #Peugeot Citroen