Giring Nidji isytihar bertanding kerusi Presiden Indonesia 2024
Agensi
Ogos 25, 2020 14:34 MYT
Ogos 25, 2020 14:34 MYT
Giring Ganesha yang juga bekas vokalis kumpulan ternama Indonesia, Nidji mengumumkan hasratnya untuk bertanding kerusi Presiden Indonesia pada 2024.
Dia yang juga Pemangku Pengerusi Parti Solidariti Indonesia (PSI) membuat pengumuman itu pada Isnin sebagai maklum balas terhadap tanda tanya banyak pihak berhubung papan iklan yang menyiarkan wajahnya, logo parti yang diwakili serta slogan “Giring Untuk Presiden 2024” di beberapa kota di Indonesia.
“Saya akan bertanding pada pemilihan Presiden 2024. Beri saya peluang untuk berkidmat kepada rakyat. Saya percaya kita boleh menentukan arah dan masa depan Indonesia,” kata Giring.
Ahli politik dan seniman berusia 37 tahun itu berkata, hasrat untuk bertanding merebut kerusi Presiden itu bertitik tolak pada keperluan Indonesia diterajui oleh pemimpin muda ekoran pada 2024 kelak sebahagian pengundi pada Pemilihan Presiden (Pilpres) terdiri daripada generasi baharu.
PSI dijenamakan sebagai parti politik untuk orang muda dan semakin dikenali ramai.
Parti berkenaan juga sebelum ini menyatakan sokongan terbuka kepada pentadbiran Presiden Joko Widodo (Jokowi).
Menurut Giring, agenda utamanya pada 2024 ialah untuk memastikan setiap lapisan rakyat Indonesia memperoleh akses kepada pendidikan.
Kata Giring, bonus demografi negara itu tidak seharusnya menjadi bencana demografi.
“Anak-anak muda harus dibekalkan dengan pengetahuan dan ketrampilan melalui akses pendidikan dan pembelajaran yang mudah bagi semua orang,” ujar Giring lagi.
Giring juga memberitahu, dia dan Pengerusi PSI, Grace Natalie juga sudah mengadakan pertemuan dengan Presiden Jokowi dan memaklumkan mengenai hasratnya itu.
“Alhamdulillah, Pak Jokowi mengalu-alukan hasrat saya itu,” kata Giring.
Sementara itu, Setiausaha Agung PSI, Raja Juli Antoni berkata, parti berkenaan akan melakukan apa sahaja dalam usaha memberi sokongan pada pencalonan Giring dalam Pilpres 2024.
“Kami sudah mengarahkan semua ahli parti untuk mempromosikan Giring,” katanya.
Pada penghujung 2018, Giring membuat keputusan meninggalkan kerjaya seninya bersama band Nidji dan memilih untuk fokus dalam gelanggang politik.
Dalam Pemilihan Umum (Pemilu) 2019, Giring turut bertanding merebut kerusi Parlimen namun tidak berjaya ekoran terdapat kesilapan teknikal semasa proses pencalonan.
Selain Giring, seorang lagi pemimpin muda dalam politik, Agus Harimurti Yudhoyono yang juga Pengerusi Parti Demokratik Indonesia turut mengumumkan hasratnya untuk bertanding kerusi Presiden Indonesia 2024.
Agus, 42, yang juga anak bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pernah bertanding merebut kerusi Gabenor Jakarta pada 2017, namun gagal.
#Agus Harimurti Yudhoyono
#Giring
#Nidji
#Parti Demokratik Indonesia
#Parti Solidariti Indonesia
#pemilihan presiden
#Pemilihan Umum
#Pemilu
#Pilpres
#Presiden Indonesia 2024