Giliran Microsoft pula digodam penjenayah siber
AFP
Februari 23, 2013 12:25 MYT
Februari 23, 2013 12:25 MYT
Syarikat komputer Microsoft menyertai Facebook dan Apple di dalam senarai syarikat gergasi teknologi AS yang menjadi sasaran serangan siber.
“Seperti yang dilaporkan oleh Facebook dan Apple, Microsoft juga mengalami perkara yang sama iaitu pencerobohan pada sistem keselamatan” Pengurus Besar Trustworthy Computing Security, Matt Thomlinson menjelaskan di dalam blog syarikat tersebut.
“Dalam siasatan yang dilakukan, kami menemui sebilangan kecil komputer termasuk Mac yang telah digodam dengan perisian yang berbahaya menggunakan teknik yang sama seperti yang dilaporkan oleh organisasi lain” tambahnya lagi.
Menurut Thomlinson, tiada data pelanggan yang dicuri namun begitu siasatan terhadap serangan masih lagi berterusan.
“Kami perlu hadapi musuh siber ini dan perkara sebegini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kepada syarikat Microsoft dan syarikat –syarikat lain” katanya lagi.
Apple juga mendakwa bahawa penggodam telah menggunakan taktik serangan yang sama yang digunakan terhadap Facebook. Namun begitu serangan terhadap Facebook dapat dikesan dan dihalang sebelum merebak.
Awal bulan ini, Twitter turut diserang penggodam yang menyebabkan kira-kira 250,000 kata laluan telah dicuri.
Walaupun orang yang bertanggungjawab di sebalik serangan itu masih belum dikenalpasti, pakar industri keselamatan komputer mengesyaki penggodam itu mungkin ditaja oleh China dan geng jenayah Eropah Timur.