Giliran Ignazio Cassis pegang jawatan Presiden Switzerland

Bernama
Januari 2, 2022 17:03 MYT
Cassis pernah berkhidmat sebagai naib presiden pada 2021 dan kemudian dipilih sebagai presiden untuk 2022 pada 8 Disember. - Reuters
GENEVA: Bekas Menteri Luar Switzerland, Ignazio Cassis menyandang jawatan presiden berkuatkuasa Sabtu mengikut sistem penggiliran presiden di negara itu, lapor agensi Anadolu.
Cassis mengambil alih jawatan itu daripada Guy Parmelin pada Jumaat selepas perbualan telefon antara kedua-dua mereka, kata jurucakap kerajaan Andre Simonazzi menerusi ciapan Twitter.
Beliau yang merupakan presiden pertama dari wilayah Ticino yang berbahasa Itali dalam ucapannya sempena ucapan Tahun Baharu menggesa rakyat bersatu padu dalam menghadapi wabak COVID-19.
Pandemik telah memisahkan Switzerland tetapi ia tidak akan memecahbelahkan kita. Kita tidak akan membiarkan perkara itu terjadi, katanya.
Cassis pernah berkhidmat sebagai naib presiden pada 2021 dan kemudian dipilih sebagai presiden untuk 2022 pada 8 Disember.
-- BERNAMA
#ignazio cassis #presiden switzerland #guy parmelin #Menteri Luar
;