Seorang ibu kepada tiga anak nekad mengajak tiga anaknya meminum racun serangga sehingga menyebabkan ketiga-tiga mereka menemui ajal.

Bagaimanapun, si ibu Ni Luh Putu Septyan Parmadani, 33 tahun, kini berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Bali, Indonesia.

Menurut portal Merdeka.com, peristiwa penuh tragis itu dilaporkan berlaku pada Rabu lepas di mana ketiga-tiga anaknya berusia enam bulan hingga dua tahun maut.

Punca dan motif sebenar yang membawa kepada berlakunya insiden itu masih disiasat pihak polis di sana.

Namun menurut kenyataan diberikan adik Ni Luh Putu, ketika keluarga berkenaan berkunjung ke rumahnya sehari sebelum kejadian, mereka tidak menunjukkan sebarang perlakuan yang mencurigakan.

Kemudian apabila suaminya datang menjemputnya pulang ke rumah mereka di Petang Badung Bali, Ni Luh terus menolak pelawaan tersebut.

Pada waktu kejadian, seorang lagi saksi I Nyoman Yoga berkata dia pergi ke rumah Ni Luh dan ketika itu suaminya keluar dari rumah tersebut dan Ni Luh sedang menyusukan anaknya.

Namun beberapa jam selepas itu, I Nyoman Yoga terkejut apabila mendapati Ni Luh dan anak-anaknya terbaring kaku di dalam bilik tidur sambil Ni Luh memegang pisau di tangannya.