Giat tangkap kelawar, 'pemburu virus' ini berharap mampu halang pandemik seterusnya

Agensi
Mac 27, 2021 15:04 MYT
Tangkapan itu bagi membangunkan model simulasi yang diharap mampu membantu dunia menghindari pandemik yang mirip COVID-19. - Reuters
LOS BANOS: Sekumpulan para penyelidik lengkap dengan sut pelindung dan lampu di kepala, bergegas untuk melepaskan kuku dan sayap kelawar yang tersangkut pada rentangan jaring pada waktu malam di Laguna, Filipina.
Haiwan kecil itu kemudiannya ditempatkan di dalam beg kain untuk diukur dan diambil calitan. Maklumat direkodkan sementara sampel air liur dan najis turut diambil untuk analisis. Haiwan itu kemudian dilepaskan semula ke habitat liar.
Kumpulan penyelidik yang menamakan diri mereka sebagai ‘pemburu virus’ itu ditugaskan untuk menangkap ribuan kelawar. Ia bagi membangunkan model simulasi yang mereka harap mampu membantu dunia menghindari pandemik yang mirip COVID-19.
Model simulasi yang ditaja oleh Jepun itu akan dibangunkan dalam tempoh tiga tahun di University of the Philippines Los Banos. Ia diharap dapat menjadi rujukan dinamik virus korona dengan menganalisis faktor seperti iklim, suhu dan kemungkinan sebaran, termasuk kepada manusia.
"Apa yang kita lakukan adalah mencari strain virus korona lain yang berpotensi untuk dijangkiti manusia. Jika kita kenal pasti virus itu dan dari mana ia berasal, kita akan tahu cara untuk mengasingkannya secara geografi,” ujar pakar ekologi dan ketua penyelidik Phillip Alviola.
Selain kerja di makmal, penyelidikan itu memerlukan kerja keras di lapangan, termasuk meredah belantara tebal dan pendakian sukar waktu malam di kawasan gunung yang dihalangi batuan, akar pokok, lumpur serta lumut.
Kumpulan itu juga menyasarkan tempat perkumpulan kelawar di bangunan, dengan memasang jaring sebelum senja untuk menangkap mamalia terbang itu, sementara sampel perlu segera didapatkan hanya dengan diterangi cahaya lampu suluh.
Semua ujian dan sampel itu adalah untuk menentukan spesies mana yang cenderung membawa penyakit dari kalangan lebih 1,300 spesies.
"Kebelakangan ini agak menakutkan. Anda tidak tahu jika kelawar itu pembawa penyakit," ujar salah seorang petugas yang membantu Alviola, Edison Cosico.
Kebanyakan yang ditangkap adalah kelawar spesies horseshoe yang diketahui membawa virus korona. Spesies hos seperti kelawar, lazimnya tidak menunjukkan simptom patogen, walaupun ia boleh membawa mudarat jika berpindah kepada manusia atau haiwan lain.
Virus-virus pembawa maut yang berpunca daripada kelawar termasuklah Ebola dan virus korona, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).
Pendedahan kepada manusia dan interaksi yang lebih dekat dengan hidupan liar bermakna risiko pemindahan penyakit kini semakin tinggi, ujar pakar ekologi kelawar, Kirk Taray.
"Dengan memiliki pangkalan data tentang alam dan kewujudan virus zoonotik pada kelawar, kita boleh meramal penularan jangkitan," ujarnya.
#kelawar #Filipina #saintis #penyelidik #pemburu virus #pandemik #virus #COVID-19
;