Gianluca Vialli, bekas penyerang Chelsea, Juventus meninggal dunia
Astro Awani
Januari 6, 2023 20:52 MYT
Januari 6, 2023 20:52 MYT
KUALA LUMPUR : Bekas penyerang kelab bola sepak ternama dari Itali, Gialuca Vialli meninggal dunia pada Khamis.
Beliau yang berusia 58 tahun, meninggal dunia akibat barah usus yang dihidapinya sejak 2017.
Meskipun beliau mengumumkan telah pulih pada April 2020, namun mendiang didiagnosis semula dengan penyakit itu pada 2021.
Atas sebab itu, mendiang mengumumkan cuti sementara daripada peranannya bersama pasukan kebangsaan Itali bagi memberi perhatian sepenuhnya kepada tahap kesihatannya itu.
Ketika hayatnya, Vialli pernah beraksi 59 kali dalam pasukan Itali dan pernah memenangi Liga Juara-Juara bersama pasukan Juventus sebelum menyertai Chelsea pada 1996.
Beliau juga pernah menjadi pengurus pemain pada 1998.
Pada 1992, Vialli mula menyertai Juventus dengan perjanjian rekod dunia bernilai lebih RM62 juta selepas memenangi gelaran Serie A dan Pemenang Piala Eropah selama lapan musim bersama pasukan Sampdoria.
Selain itu, mendiang juga membimbing pasukan The Blues dan pernah meraih kemenangan dalam Piala Liga, Piala UEFA dan Piala Super UEFA.
Antara lain, Chelsea juga memenangi perlawanan akhir Piala FA2000 dan Charity Shield dibawah bimbingannya.