Gesa media antarabangsa dedah tindakan Israel 'tutup mulut' wartawan

Agensi
Februari 25, 2024 14:15 MYT
Para menteri mengutuk penyasaran secara sengaja dan sistematik Israel terhadap wartawan Palestin. - Gambar/ Reuters
ISTANBUL: Menteri-Menteri Penerangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa organisasi dan saluran media antarabangsa untuk mendedahkan pelanggaran hak asasi manusia dan kempen terhadap wartawan oleh pihak pendudukan Israel.
Dalam Kenyataan Akhir Sesi Luar Biasa Persidangan Menteri-Menteri Penerangan Islam (ICIM) yang berlangsung sehari di sini, para menteri mengutuk penyasaran secara sengaja dan sistematik Israel terhadap wartawan Palestin dan menekankan bahawa hal itu adalah sebahagian kempen untuk mendiamkan suara kebenaran.
Menteri-menteri juga mengecam pihak berkuasa pendudukan Israel yang enggan mengambil walau satupun langkah paling asas untuk memastikan keselamatan wartawan mengikut Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) dan kaedah antarabangsa lain yang menjamin dan melindungi hak-hak wartawan.
"Bimbang Israel, pihak berkuasa pendudukan, sedang berusaha untuk menyembunyikan dan tidak menunjukkan situasi sebenar mengenai kekejaman yang berlaku di Semenanjung Gaza, termasuk membunuh bayi, kanak-kanak, wanita, wartawan tua, petugas kesihatan, ahli akademik dan pekerja kemanusiaan menerusi pemalsuan maklumat yang sistematik.
"Meletakkan Israel, pihak berkuasa pendudukan, sebagai bertanggungjawab terhadap pembunuhan, penahanan dan penindasan wartawan serta pembunuhan dan menyasarkan ahli keluarga mereka," menurut kenyataan itu.
Sesi Luar Biasa ICIM yang berlangsung di sini pada Sabtu bertujuan membincangkan usaha bersama dalam melawan pemalsuan maklumat dan permusuhan daripada pihak berkuasa Israel terhadap wartawan dan saluran media di wilayah Palestin yang diduduki mereka.
Seramai 199 peserta dari 42 negara menghadiri persidangan anjuran OIC itu dan Turkiye menjadi tuan rumah persidangan atas kapasitinya sebagai Pengerusi ICIM sesi semasa.
Delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa mewakili Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kenyataan Akhir itu juga menyeru masyarakat antarabangsa agar segera memulakan siasatan yang membawa kepada memastikan Israel bertanggungjawab atas jenayah yang mereka lakukan terhadap petugas media di Palestin.
Para menteri turut mengutuk kempen pemalsuan maklumat secara sistematik Israel dan penyebaran maklumat palsu serta mengelirukan serta berita bohong untuk menutup kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan mereka di Semenanjung Gaza.
"Menekankan bahawa masyarakat global berhak mengetahui apa yang terjadi dalam wilayah Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza dan menggariskan peri pentingnya komuniti dunia bertindak segera untuk memastikan Israel, pihak berkuasa pendudukan, dipertanggungjawabkan atas pencabulan undang-undang antarabangsa kerana menyasarkan wartawan dan mengambil langkah serta-merta untuk melindungi semua pemberita yang ditugaskan di wilayah berkenaan," menurut kenyataan itu.
Menteri-menteri juga berazam untuk bekerja secara bersama dan erat pada peringkat antarabangsa untuk memerangi pemalsuan maklumat dan menunjukkan tekad bersama untuk bertindak secara solidariti dan bersatu, bagi mendedahkan serangan sembarangan yang menyasarkan orang awam Palestin, termasuk keganasan peneroka haram di Tebing Barat, yang bermatlamat menghalau rakyat Palestin dari rumah mereka.
"Menegaskan tekad bersama kami untuk melawan dan memperlihatkan cubaan-cubaan pihak pendudukan penjajah Israel untuk menyembunyikan kemusnahan di lokasi dengan menakutkan wartawan bagi meminimumkan reaksi antarabangsa, dan untuk memastikan usaha mereka menutup jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan di Semenanjung Gaza gagal," menurut kenyataan itu.
Selain itu, menteri-menteri juga memberi mandat kepada Unit Pemantauan Media Sekretariat Agung OIC untuk merangka pelan tindakan media, dengan kerjasama institusi media OIC dan agensi berita nasional negara anggota yang berminat, dengan tujuan untuk meletakkan dan menentang penyebaran maklumat pendudukan Israel, maklumat salah, berita palsu dan jenayah perang, pada persidangan antarabangsa.
"Memberi sokongan kepada Unit Pemantauan Media OIC untuk menganjurkan bengkel media bagi mencapai misinya seperti yang ditetapkan oleh Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab-Islam yang diadakan di Riyadh pada 11 November 2023," menurut kenyataan itu.
Pengeboman Israel terhadap Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 telah membunuh lebih 29,000 orang dan mengakibatkan kemusnahan berskala besar serta kekurangan bekalan barangan keperluan yang mencetuskan krisis kemanusiaan di Gaza.
Iran cadang mekanisme khusus rekod jenayah Israel
Dalam pada itu, Iran menggesa penubuhan mekanisme khusus di OIC bagi mendokumentasikan dengan lebih terperinci mengenai jenayah yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
Gesaan itu disuarakan Menteri Kebudayaan, Mohammad Mehdi Esmaili ketika berucap pada sesi tergempar Persidangan Menteri Penerangan Islam yang diadakan di Istanbul, Turkiye pada Sabtu, lapor Agensi Berita Iran IRNA.
"Kita boleh mengumpul bukti kukuh untuk mendapatkan keadilan melalui kaedah undang-undang dan memastikan mereka bertanggungjawab atas tindakan tidak berperikemanusiaan itu," katanya.
Beliau membuat kenyataan itu sebagai sebahagian daripada cadangan Iran untuk menyokong rakyat Palestin di Gaza selepas serangan berterusan rejim Israel.
Menteri itu turut mencadangkan supaya media dalam kalangan negara anggota OIC mempertingkatkan kerjasama dalam usaha mengekang maklumat salah yang disebarkan Israel. - Sinar Harian memetik agensi
#kekejaman israel #wartawan Palestin #serangan terhadap wartawan #oic
;