AS gesa Israel benarkan umat Islam beribadat di Al-Aqsa di bulan Ramadan

Agensi
Februari 29, 2024 08:10 MYT
Anggota keselamatan Israel berkawal ketika umat Islam Palestin menunaikan solat Jumaat di timur Baitulmaqdis pada 23 Februari lalu. - Gambar REUTERS
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Rabu (28 Feb) menggesa Israel membenarkan umat Islam menunaikan ibadat di pekarangan masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis pada bulan Ramadan selepas seorang menteri sayap kanan mencadangkan menghalang penduduk Palestin dari Tebing Barat yang diduduki daripada solat di sana.
"Memandangkan ia berkaitan dengan Al-Aqsa, kami terus menggesa Israel untuk memudahkan akses (umat Islam) untuk melakukan ibadat dengan aman semasa Ramadan selaras dengan amalan masa lalu," kata jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller kepada pemberita.
"Itu bukan sahaja perkara yang betul untuk dilakukan, ia bukan hanya soal memberi orang kebebasan beragama yang mereka layak dan yang mereka ada hak, tetapi ia juga perkara yang secara langsung penting untuk keselamatan Israel," katanya.
"Ia bukan kepentingan keselamatan Israel untuk mencetuskan ketegangan di Tebing Barat atau di rantau yang lebih luas."
Israel telah menilai cara menangani ibadat di Baitulmaqdis semasa Ramadan, bulan suci umat Islam yang dijangka bermula sama ada pada 10 atau 11 Mac.
Bulan puasa tiba ketika Israel melancarkan kempen ketenteraan tanpa henti di Semenanjung Gaza sebagai tindak balas kepada serangan besar oleh Hamas di Israel pada 7 Oktober lalu.
Hamas telah menggesa gerakan besar-besaran di Al-Aqsa untuk permulaan Ramadan.
“Kami menyeru rakyat kami di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan pedalaman yang diduduki (Israel) untuk pergi ke Al-Aqsa dari hari pertama bulan Ramadan yang penuh keberkatan, secara berkumpulan atau bersendirian, untuk berdoa di sana untuk memecahkan kepungan di sana ," kata Ketua Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu kenyataan di televisyen hari ini.
Minggu lalu, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir memberi peringatan penduduk Palestin di Tebing Barat "tidak dibenarkan" memasuki Baitulmaqdis untuk beribadat di bulan Ramadan.
"Kami tidak boleh mengambil risiko, kami tidak boleh menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai tebusan di Gaza dan membenarkan perayaan untuk Hamas di sana (Masjid Al-Aqsa)," tambahnya.
Ben Gvir mengetuai parti berhaluan kanan yang menyokong kawalan Yahudi ke atas kawasan itu.
AS telah mendesak perjanjian sebelum Ramadan bermula di mana Israel akan menghentikan serangan di Semenanjung Gaza dan tebusan yang ditawan pada 7 Okt akan dibebaskan.
Kempen tentera Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 29,954 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut angka terkini oleh Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas.
Ia dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Okt ke atas Israel selatan yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang, kebanyakannya orang awam. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #Masjid Al-Aqsa #Umat Islam #Ramadan
;