Georgia haramkan ibu tumpang bagi warga asing
Bernama
Jun 14, 2023 12:57 MYT
Jun 14, 2023 12:57 MYT
TBILISI: Ibu tumpang hanya akan dibenarkan untuk rakyat Georgia manakala warga asing akan dilarang daripada menerima perkhidmatan sedemikian di Georgia, kata Perdana Menteri Irakli Garibashvili.
"Kebanyakan masyarakat kita mengambil berat tentang topik ibu tumpang dan ia adalah isu yang lebih kompleks kerana ia berkaitan dengan keselamatan rakyat secara amnya, imej negara dan sebagainya," menurut kenyataan media kerajaan memetik Garibashvili sebagai berkata dalam satu mesyuarat pada Isnin, lapor Xinhua.
Garibashvili berkata perkhidmatan ibu tumpang untuk warga asing bertukar menjadi perniagaan dan tiada peraturan untuk memantau perkembangan itu di Georgia.
"Ia juga berlaku dalam talian, terdapat terlalu banyak iklan dan kami percaya ia sangat mengganggu untuk membiarkan isu ini tidak dikawal," katanya sambil menambah kerajaan sedang mengusahakan rang undang-undang untuk membenarkan perkhidmatan ibu tumpang hanya kepada rakyat Georgia.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Georgia Zurab Azarashvili memberitahu sidang media pada Isnin bahawa kedua-dua ibu tumpang dan persenyawaan vitro di negara itu hanya akan dihadkan kepada warga Georgia mulai 1 Januari 2024 dan iklan berkaitan turut akan diharamkan.
-- BERNAMA