George Clooney gesa hotel Sultan Brunei diboikot
Astro Awani
Mac 29, 2019 15:36 MYT
Mac 29, 2019 15:36 MYT
SELEBRITI terkenal Hollywood, George Clooney menggesa agar rangkaian Dorchester Collection’s termasuk Hotel The Beverly Hills dan Hotel Bel-Air di California diboikot, selepas mendakwa pemiliknya, Sultan Brunei mendiskriminasi komuniti LGBT.
Dalam ulasannya di laman berita Deadline pada Khamis, Clooney berkata, tindakan memboikot itu susulan laporan yang menyebut Brunei akan melaksanakan hukuman rejam sampai mati terhadap pesalah zina dan seks sejenis.
"Pada 3 April ini, Brunei akan mula merejam sampai mati mana-mana rakyat yang terbukti menjadi gay. Ini berita yang menunjukkan dunia autoritarianisme, hanya negara itu sendiri," kata Clooney.
Dalam ruangannya, pelakon itu lantang menyuarakan pendapatnya kepada Sultan Hassanal Bolkiah yang juga ketua agensi pelaburan negara itu.
"Sultan Brunei adalah seorang lelaki terkaya dunia. Dia memiliki Agensi Pelaburan Brunei dan mereka pula mempunyai beberapa hotel cantik.
"Mereka memiliki sembilan hotel paling eksklusif di dunia. Saya telah tinggal di tempat mereka sebelum ini tanpa mengetahui siapa pemiliknya," katanya seperti dilaporkan media antarabangsa.
Menurut Clooney, beberapa tahun lalu, dua buah hotel di Los Angeles, The Bel-Air dan The Beverly Hills Hotel telah diboikot komuniti gay.
"Hotel mereka bagus. Orang-orang yang bekerja di sana baik dan tidak kena mengena dalam pemilikan hotel ini.
"Tetapi biar semuanya jelas, setiap kali kita menginap di sini, kita seperti memilih untuk meletakkan wang secara langsung ke poket individu yang memilih untuk melaksanakan hukuman rejam sampai mati terhadap pesalah zina dan seks sejenis di negaranya," jelasya.
Sebagai reaksi balas kepada Clooney, pengarah komunikasi Beverly Hills Hotel, Brittany Williams berkongsi kenyataan dengan USA TODAY bagi pihak Dorchester Collection.
"Dorchester Collection (menekankan) kesaksamaan, rasa hormat dan integriti dalam semua bidang operasi kami serta menghargai kepelbagaian budaya di kalangan tetamu dan pekerja kami.
"Inklusi dan kepelbagaian tetap menjadi kepercayaan kerana kita tidak bertolak ansur dengan apa-apa bentuk diskriminasi," katanya.
#Brunei
#California
#gay
#George Clooney gesa hotel Sultan Brunei diboikot
#Hollywood
#hotel
#integriti
#Los Angeles
#pelaburan
#rakyat
#seks
#Sultan Brunei
#Sultan Hassanal Bolkiah
#undang-undang