George Clooney gesa Biden tarik diri daripada pilihan raya

Agensi
Julai 10, 2024 07:20 MYT
Menurut Clooney, Presiden Biden telah memenangi banyak pertempuran dalam kerjayanya, namun, “satu-satunya pertempuran yang tidak dapat dimenanginya ialah melawan masa."
PENGUMPUL dana terbesar kempen politik parti Demokrat Amerika Syarikat (AS), George Clooney muncul sebagai personaliti terbaharu yang menggesa Presiden Joe Biden untuk berhenti dan menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya negara itu.
Gesaan tersebut dikeluarkan aktor ternama Hollywood itu beberapa jam selepas pemimpin kanan Demokrat, Nancy Pelosi menyuarakan persoalan sama ada Biden perlu meneruskan keinginannya untuk bertanding bagi penggal kedua sebagai Presiden AS.
Menurut Clooney, Presiden Biden telah memenangi banyak pertempuran dalam kerjayanya, namun, “satu-satunya pertempuran yang tidak dapat dimenanginya ialah melawan masa."
Kenyataan Clooney dibuat selepas Pelosi yang juga bekas Speaker Dewan menyertai kegelisahan yang semakin meningkat dalam parti, mengatakan bahawa masa "sudah terlalu singkat" untuk Biden memutuskan sama ada kekal dalam perlumbaan menentang Donald Trump selepas perdebatan yang disertainya membawa bencana.
Presiden Biden, bagaimanapun, berulang kali menyatakan pendiriannya untuk kekal sebagai calon parti Demokrat sekali gus mengalahkan lawannya, Trump pada pilihan raya yang akan berlangsung November depan.
Dalam artikel yang diterbitkan di The New York Times, Clooney menulis: “amat menyedihkan untuk mengatakan” Biden yang ditemuinya pada acara pengumpulan dana tiga minggu lalu bukanlah Joe Biden pada 2020."
"Dia adalah lelaki yang sama yang kita semua saksikan pada perdebatan itu," kata Clooney.
Acara pengumpulan dana, yang dihoskan bersama oleh Clooney di Los Angeles, AS berjaya mengumpul dana sekitar AS$30 juta (RM141 juta) untuk kempen Biden.
"Pemimpin parti perlu berhenti memberitahu kita semua bahawa 51 juta orang tidak melihat apa yang baru kami lihat."
"Ini mengenai umur. Tidak lebih daripada itu," sambungnya.
"Kita (Demokrat) tidak akan menang pada November dengan (calon) Presiden ini (Biden)."
Bahkan, tambah Clooney, kebimbangannya adalah sama dengan dengan "setiap" ahli Kongres yang ditemuinya.
Perbezaan pendapat orang ramai terus semakin terserlah dalam parti yang dipimpin Biden ketika beliau memberi tumpuan semasa menjadi tuan rumah sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Washington.
Pelosi yang juga antara pemimpin Demokrat paling berkuasa di Capitol Hill, pada Rabu turut mengabaikan pendirian tegas Biden yang nekad untuk meneruskan cabaran dalam pilihan raya Presiden.
Apabila ditanya sama ada Biden perlu kekal dalam perlumbaan pilihan raya, Pelosi dalam satu wawancara dengan MSNBC berkata: "Saya mahu beliau (Biden) melakukan apa sahaja yang dia memutuskan untuk lakukan."
"Terpulang kepada Presiden untuk memutuskan sama ada beliau akan bertanding. Kami semua menggalakkan beliau membuat keputusan itu, kerana masa semakin suntuk."
Sejumlah pemimpin Demokrat telah mencadangkan Biden meninggalkan kempennya sejak debatnya pada 27 Jun lalu dengan Trump mengundang kritikan pedas.
Pada Selasa, Michael Bennet dari Colorado menjadi senator Demokrat pertama yang tidak bersetuju secara terbuka.
Walaupun tidak secara langsung menggesa Biden untuk berundur, Bennet berkata, Trump akan memenangi pilihan raya kali ini, mungkin dengan "kemenangan besar."
Pemimpin lain yang tidak berselindung, Mikie Sherril yang juga seorang ahli Kongres untuk North Jersey dalam kenyataannya berkata: "Saya meminta beliau mengisytiharkan bahawa beliau tidak akan bertanding untuk pemilihan semula."
Pat Ryan, seorang ahli Kongres dari New York dalam hantarannya di X pula menulis: "Demi kebaikan negara kita, untuk dua anak kecil saya, saya meminta Joe Biden untuk berundur."
Ketua Minoriti Dewan Demokrat, Hakeem Jeffries merancang untuk bercakap dengan Biden pada Jumaat ini bagi membincangkan kebimbangan yang dibawa oleh beberapa ahli parti Kongres.
Bagaimanapun, sokongan keseluruhan daripada Demokrat yang dipilih kekal teguh.
Gavin Newsom, Gabenor California yang dinamakan oleh Clooney sebagai bakal pengganti, berkata, beliau masih "sepenuhnya menyokong" Biden.
Kaukus Hitam Kongres yang dianggotai sekitar 60 ahli politik dan ahli Dewan yang lebih baharu seperti Alexandria Ocasio Cortez juga telah menyokong Biden secara terbuka.
Pada Selasa, Chuck Schumer yang juga Demokrat terkemuka di Senat, berkata: "Saya bersama Biden."
Pergerakan dan kenyataan Biden terus menjadi perhatian ramai khususnya ketika beliau menjadi tuan rumah kepada pemimpin dunia di Washington untuk ulang tahun ke-75 perikatan NATO.
Presiden AS itu akan mengadakan sidang media secara sendirian pada Khamis (hari ini) iaitu sesuatu yang jarang beliau lakukan sementara pada Isnin, Biden akan diwawancara oleh NBC News dan rakaman itu akan disiarkan pada sebelah malam. - Agensi
#Pilihan Raya Presiden AS #Joe Biden #george clooney #Donald Trump
;