George Bush dibenarkan keluar hospital selepas dua minggu rawatan

Agensi
Mei 5, 2018 07:23 MYT
Bush dimasukkan ke hospital yang sama setahun lalu kerana batuk kuat yang kemudian didiagnosis sebagai kes pneumonia ringan. - Gambar fail
Bekas Presiden Amerika Syarikat, George H.W. Bush, 93 tahun, dilapor dibenarkan keluar dari hospital di Houston setelah menjalani rawatan hampir dua minggu akibat jangkitan pada darah, menurut Huffingtonpost pada Sabtu.
Jurucakap keluarganya dipetik berkata, Bush yang juga bekas presiden AS tertua, telah dimasukkan ke Hospital Houston Methodist 22 April lalu, sehari selepas menghadiri pengebumian isterinya, Barbara, yang meninggal dunia pada 17 April.
Pasangan itu telah berkahwin selama 73 tahun.
"Laporan doktor mengatakan kesihatan Bush semakin baik dan beliau sangat gembira dapat pulang ke rumah," kata jurucakap itu, Jim McGrath dalam satu kenyataan.
BACA: Barbara Bush meninggal dunia
BACA: Bekas presiden AS George HW Bush dimasukkan ke hospital
Bush yang pernah menjadi presiden dari tahun 1989 hingga 1993, dimasukkan ke hospital yang sama setahun lalu kerana batuk kuat yang kemudian didiagnosis sebagai kes pneumonia ringan.
Beliau adalah bapa kepada bekas presiden dari parti Republikan, George W. Bush, yang berkhidmat dua penggal dari tahun 2001 hingga 2009.
Beliau juga bapa kepada bekas Gabenor Florida, Jeb Bush, yang tidak berjaya mendapatkan pencalonan presiden pada tahun 2016.
#Amerika Syarikat #George H W Bush #Hospital #presiden
;