WASHINGTON: General Motors (GM) memutuskan untuk menghentikan projek robotaxi tanpa pemandu selepas melabur hampir AS$10 bilion, sebaliknya menumpukan usaha kepada pembangunan sistem bantuan pemandu yang secara beransur-ansur boleh membawa kepada pemanduan autonomi dalam kenderaan persendirian, lapor agensi berita Jerman dpa. 

Keputusan itu dijangka menjimatkan perbelanjaan GM sehingga AS$1 bilion setiap tahun, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa. 

Projek robotaxi dijalankan bersama anak syarikat GM, Cruise yang bercita-cita untuk melancarkan perkhidmatan teksi tanpa pemandu.

Projek itu melibatkan rancangan untuk memperluaskan operasi dari bandar-bandar di Amerika Syarikat ke Tokyo, dengan Cruise telah menjalankan ujian ke atas kenderaan tanpa stereng dan pedal. 

Namun, projek berkenaan menerima tamparan hebat pada akhir 2023 apabila berlaku kemalangan di San Francisco, apabila seorang wanita dilanggar oleh kenderaan lain lalu tercampak ke hadapan robotaxi Cruise.

Kenderaan autonomi itu gagal mengesan mangsa dan menyeretnya sejauh enam meter sebelum berhenti. 

Cruise pada mulanya meremehkan insiden itu, tetapi tindakan berkenaan membawa akibat buruk apabila bandar San Francisco menarik balik lesen operasi mereka, sekali gus menghentikan perkhidmatan robotaxi Cruise.

Insiden itu turut memaksa Cruise menjalani rombakan dalam struktur kepimpinannya. 

Walaupun Cruise telah memulakan semula ujian pemanduan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, GM menyedari bahawa untuk mengembangkan perniagaan robotaxi memerlukan masa dan pelaburan yang besar, terutama dalam pasaran yang semakin kompetitif. 

Ketika ini, Waymo, anak syarikat kepada Google menerajui pasaran robotaxi dengan operasi di beberapa bandar di Amerika Syarikat, dengan lebih 150,000 perkhidmatan perjalanan setiap minggu.

Zoox, milik Amazon sedang dalam perancangan untuk melancarkan perkhidmatannya di bandar seperti Las Vegas dan San Francisco.

Sementara itu, Apple telah menghentikan program kereta pandu sendiri pada Februari lalu selepas kos pembangunan yang mencecah berbilion dolar selama bertahun-tahun.

-- BERNAMA