Gencatan senjata hanya lemahkan Israel - Gantz
Astro Awani
November 26, 2024 06:50 MYT
November 26, 2024 06:50 MYT
TEL AVIV: Pemimpin pembangkang Israel, Benny Gantz, menzahirkan kebimbangan mengenai perjanjian gencatan senjata yang akan dimeterai dengan pasukan pejuang Hezbollah.
Menerusi ciapan di X, Gantz berkata, pengunduran tentera Israel menerusi perjanjian seperti itu hanya memberi ruang kepada Hezbollah untuk kembali mengatur strategi ketenteraanya.
Justeru, beliau menggariskan tujuh langkah utama yang perlu dipertimbang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi keselamatan Utara Israel.
Pertama, tegas Gantz, perjanjian itu harus mendapat kelulusan rasmi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bukan sekadar persetujuan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS).
Beliau turut mencadangkan satu mekanisme pemantauan diketuai AS untuk memastikan sebarang pelanggaran perjanjian dilaporkan secara berkala.
Israel juga, katanya, perlu diberi kebebasan bertindak segera apabila menghadapi ancaman keselamatan termasuk aktiviti perisikan dan pemantauan udara.
Katanya lagi, dunia perlu mengenakan embargo ketat terhadap penghantaran senjata ke Lubnan bagi tujuan selain ketenteraan rasmi negara itu.
Tambah Gantz, justeru dunia perlu mengekang Iran dari melakukan sedemikian kepada pasukan pejuang Hezbollah.
Beliau turut mencadangkan tentera Lubnan ditempatkan di lintasan Sungai Litani dengan pengawasan ketat antarabangsa.
Ujar Gantz, kawasan yang berdekatan dengan kediaman penduduk di utara Israel perlu dipastikan bebas senjata, selain kehadiran tetap angkatan pertahanan Israel (IDF) untuk melindungi kawasan tersebut,
Antara lain, mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) perlu dinaik taraf daripada pemerhati pasif kepada pasukan yang mampu melaksanakan penguatkuasaan keselamatan secara aktif. - Agensi