Gencatan senjata Gaza: Trump akan berdepan lebih banyak tentangan selepas Jordan, Arab Saudi - Penganalisis

Irfan Faruqi
Februari 5, 2025 20:40 MYT
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika sidang media bersama Perdana Menteri Israel di White House pada Selasa. - foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump akan berdepan dengan lebih banyak tentangan daripada masyarakat antarabangsa mengenai isu Palestin.

Ringkasan AI
  • Penolakan Cadangan Trump oleh Sekutu Rapat: Jordan dan Arab Saudi menolak cadangan Trump mengenai penguasaan Amerika Syarikat di Gaza, dan lebih banyak negara dijangka akan turut membantah.
  • Kritikan terhadap Kepimpinan Trump: Trump dikritik sebagai pemimpin yang tidak bijaksana dan sengaja mencetuskan masalah, serta mengenepikan hak rakyat Palestin, yang dianggap sebagai kegagalan moral.
  • Cadangan Pengambilalihan Gaza oleh Amerika Syarikat: Trump mencadangkan agar Amerika Syarikat mengambil alih dan membangunkan semula Semenanjung Gaza.

Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Kamaruzaman Yusoff berkata selepas sekutu rapat Jordan dan Arab Saudi menolak cadangan Trump mengenai penguasaan AS di Gaza, lebih banyak negara akan menzahirkan bantahan yang sama.
“Saya sendiri berpendapat apa yang berlaku ialah tindakan yang menunjukkan Trump bukan seorang pemimpin yang bijaksana dan sengaja buat masalah.
“Kita akan nampak nanti lebih banyak bantahan, apabila berlaku tekanan daripada pelbagai pihak seperti yang berlaku ketika ini daripada pemimpin Arab Saudi, Jordan dan lain-lain,” katanya
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Kamaruzaman menyifatkan tindakan Trump yang mengenepikan hak rakyat Palestin sebagai suatu kegagalan moral pemimpin berkenaan ketika Hamas dan Israel sudah mencapai kesepakatan gencatan senjata.
Pada Selasa, Trump mencadangkan agar Amerika Syarikat mengambil alih dan membangunkan semula Semenanjung Gaza, dengan tujuan untuk membawa kestabilan dan mencipta peluang pekerjaan di kawasan tersebut.
Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu itu, Trump mencadangkan penempatan semula secara kekal rakyat Palestin dari Gaza ke negara-negara jiran, dengan alasan bahawa mereka akan lebih baik ditempatkan di rumah yang selesa dan selamat daripada ancaman maut.
#Amerika Syarikat #Benjamin Netanyahu #Donald Trump #gencatan senjata #Gaza #Israel #Palestin
;