Gencatan senjata Gaza: Penyatuan dunia Arab, hadiah besar daripada kedegilan Trump - Penganalisis
Irfan Faruqi
Februari 12, 2025 20:46 MYT
Februari 12, 2025 20:46 MYT
Persidangan Liga Arab yang dianggotai 22 negara-negara Arab. - Reuters
KUALA LUMPUR: Kedegilan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam isu Palestin telah mencetuskan penyatuan dunia Arab termasuk dalam kalangan sekutu kuat Amerika Syarikat iaitu Arab Saudi, Mesir dan Jordan.
Ringkasan AI
- Penyatuan Dunia Arab: Kedegilan Presiden Donald Trump dalam isu Palestin telah mencetuskan penyatuan dunia Arab, termasuk sekutu kuat Amerika Syarikat seperti Arab Saudi, Mesir, dan Jordan, dalam mempertahankan hak Palestin.
- Kekuatan Hamas: Hamas menunjukkan kekuatan mereka dengan menyerahkan tahanan tentera Israel bersama kereta dan senjata yang dirampas, menandakan kekuatan mereka walaupun selepas setahun setengah serangan.
- Penentangan Terhadap Trump: Trump tetap bertegas dengan rancangannya untuk mengambil alih Gaza, yang ditentang keras oleh Jordan dan negara-negara Arab lain.
Pensyarah Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Abdel Rahman Ibrahim berkata, dunia Arab yang masyhur berpecah kini bersatu dalam satu suara dalam mempertahankan hak Palestin, boleh dianggap sebagai suatu kemenangan.
“Trump beri kita, umat Arab, satu hadiah yang sangat besar. Kali terakhir umat Arab bersatu adalah pada zaman Nabi Muhammad dan Empat Khalifah. Kini, kali kedua. Ini hadiah daripada Trump. Kita memang terhutang budi, terima kasih kepada Trump kerana menyatukan negara-negara Arab,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambah Abdel Rahman lagi, penentangan terhadap rejim Zionis turut terserlah dalam kalangan orang politik Israel dan orang Yahudi sendiri.
Bantahan berkenaan, antara lain, menuntut agar Benjamin Netanyahu akur dan patuh kepada semua terma dalam perjanjian gencatan senjata yang telah dipersetujui.
“Kita tidak pernah nampak Israel terhina seperti sekarang. Kita lihat ketika Hamas menyerahkan tahanan dalam kalangan tentera Israel kembali, Hamas juga bawa kereta dan senjata yang dirampas. Ini menunjukkan kekuatan Hamas.
“Selepas setahun setengah, segala senjata telah digunakan (untuk memusnahkan Hamas), tetapi pakaian mereka masih bersih, kereta tidak ‘berdebu’. Masalah sekarang ialah masalah (Donald) Trump sahaja,” tambahnya.
Pada Selasa, Trump tetap bertegas dengan rancangan untuk mengambil alih Gaza untuk pembangunan semula.
Kenyataan itu ditentang tegas oleh Jordan dan negara-negara Arab lain yang membantah rancangan berkenaan.
#Agenda Awani
#Amerika Syarikat
#Arab Saudi
#Benjamin Netanyahu
#Donald Trump
#Gaza
#gencatan senjata
#Hamas
#Zionis