Gencatan senjata Gaza hampir dimeterai

Astro Awani
Januari 15, 2025 09:20 MYT
Seorang pegawai Israel menyatakan bahawa rundingan telah mencapai tahap kritikal walaupun masih ada beberapa perincian yang perlu diperhalusi. - Foto fail/REUTERS
DOHA: Rundingan antara pihak bertelagah di Gaza dan kumpulan perantara terus berjalan pada Selasa untuk memuktamadkan perincian perjanjian gencatan senjata selepas perbincangan maraton di Qatar.
Kedua-dua belah pihak serta perantara menyatakan bahawa perjanjian semakin hampir dicapai.
Namun, selepas lebih lapan jam perbincangan, seorang pegawai kanan Hamas memberitahu, kumpulan itu masih menunggu Israel menyerahkan peta yang menunjukkan bagaimana tenteranya akan berundur dari Gaza.
Katanya, Hamas belum memberikan maklum balas terhadap rancangan gencatan senjata kerana pihak penjajah Israel belum menyerahkan peta yang menunjukkan kawasan-kawasan di mana tenteranya akan berundur.
Beliau menambah bahawa peta tersebut termasuk pengunduran tentera Israel dari kawasan Netzarim di tengah Semenanjung Gaza untuk membolehkan penduduk yang dipindahkan kembali ke rumah mereka.
Ini termasuk Jabalia di utara Gaza, Jalan Philadelphi di sepanjang sempadan selatan dengan Mesir, serta Rafah yang turut terletak berhampiran sempadan itu.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari, pada awalnya menyatakan bahawa perbincangan mengenai perincian akhir sedang berlangsung selepas kedua-dua pihak diberi teks cadangan perjanjian.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden turut berkata perjanjian kini hampir dimuktamadkan.
Hamas menyatakan bahawa rundingan sudah berada di fasa akhir dan mereka berharap pusingan perbincangan kali ini akan menghasilkan perjanjian selepas usaha mediasi oleh Qatar, Mesir dan AS.
Seorang pegawai Israel menyatakan bahawa rundingan telah mencapai tahap kritikal walaupun masih ada beberapa perincian yang perlu diperhalusi.
Jika berjaya, gencatan senjata berperingkat ini boleh menghentikan pertempuran yang memusnahkan Gaza.
Langkah ini juga mampu meredakan ketegangan di seluruh Asia Barat yang lebih luas, di mana perang telah mencetuskan konflik di Tebing Barat, Lubnan, Syria, Yaman dan Iraq serta meningkatkan kebimbangan tentang peperangan besar antara Israel dan Iran.
#Gaza #gencatan senjata #Hamas #Israel
;