Gencatan senjata di Gaza hampir menjadi kenyataan - Amerika

Agensi
Ogos 23, 2024 08:30 MYT
Thomas Greenfield mendesak Hamas supaya menerima cadangan pindaan yang dikemukakan Amerika, yang dilaporkan berbeza daripada cadangan awal yang dipersetujui sebelum ini. - Gambar fail AP
NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) mengesahkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan kini semakin hampir menjadi kenyataan.
Ia dimaklumkan Wakil Tetap Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Linda Thomas - Greenfield kepada Majlis Keselamatan.
“Rakan-rakan sekalian, Setiausaha Negara Antony Blinken baru sahaja menamatkan lawatannya yang kesembilan ke rantau ini sejak Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober dan mencetuskan peperangan yang telah menyebabkan begitu banyak penderitaan dan kemusnahan.
“Setiausaha mengulangi sokongan teguh Amerika Syarikat terhadap keselamatan Israel, tetapi beliau juga bertujuan untuk memajukan perbincangan mengenai perjanjian gencatan senjata menyeluruh dan pembebasan tebusan yang kini hampir tercapai.
“Dan untuk menekankan bahawa tiada siapa di rantau ini yang harus mengambil tindakan yang boleh menjejaskan rundingan yang sedang berlangsung,” kata beliau.
Pengesahan ini dibuat ketika pusingan rundingan baharu dijadual bermula di ibu negara Mesir, Kaherah.
Dalam masa sama, Thomas Greenfield mendesak Hamas supaya menerima cadangan pindaan yang dikemukakan Amerika, yang dilaporkan berbeza daripada cadangan awal yang dipersetujui sebelum ini.
Cadangan itu disasarkan untuk menyelesaikan beberapa isu tertunggak yang menjadi pertikaian antara Israel dan Hamas.
Pertikaian itu menyebabkan keganasan tidak dapat ditamatkan sehingga kini.
Menurut Amerika, Israel sudah menerima cadangan pindaan dan kini sudah tiba masa Hamas mengikut jejak sama.
Kenyataan Thomas Greenfield mengulangi trend kenyataan pegawai Amerika, yang mendakwa Israel sudah bersetuju dengan cadangan gencatan senjata dan Hamas yang menangguhkan persetujuan itu.
Sementara itu, Hamas menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menerima cadangan yang bertujuan mensabotaj perjanjian untuk menamatkan perang 11 bulan di Gaza.
Jun lalu, pelan gencatan yang diterima pakai Majlis Keselamatan tidak membenarkan Israel meneruskan kawalan ke atas beberapa kawasan di wilayah Gaza. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #gencatan senjata #Hamas #israel serang gaza