Gencatan senjata di Gaza: Ada negara yang sentiasa alihkan tumpuan - Kurt M Campbell

Syafik Shukri Jalil
September 24, 2024 11:15 MYT
Mohamad (empat, kiri) dan Campbell (tiga, kanan) ketika pertemuan di New York. - Gambar/ Helmi Hamid
NEW YORK: Usaha untuk memuktamadkan rundingan perjanjian gencatan senjata di Gaza bukan satu perkara yang mudah dicapai.

Ringkasan AI
  • Rundingan gencatan senjata di Gaza sukar dicapai kerana negara-negara yang terlibat sering mengubah matlamat mereka, menurut Timbalan Setiausaha Negara AS, Kurt Campbell.
  • Malaysia menyatakan pandangannya mengenai konflik Gaza kepada Campbell dan ingin mengetahui usaha AS dalam mencapai perjanjian gencatan senjata tersebut.
  • Rundingan antara Israel dan Hamas belum membuahkan hasil meskipun beberapa pertemuan telah diadakan dengan negara pengantara seperti Qatar, Mesir, dan Turkiye.

Itu yang didedahkan oleh Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Kurt M Campbell kepada Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika pertemuan empat mata yang berlangsung di sini, pada Isnin.
Mohamad ketika ditemui pemberita Malaysia berkata, Campbell mendedahkan, terdapat negara-negara yang terlibat dalam konflik tersebut sering mengubah matlamat mereka sekali gus menyukarkan usaha merealisasikan perjanjian berkenaan.
"Semua negara dalam dunia ini mahu melihat gencatan senjata dapat disegerakan, tetapi menurut kata Campbell... masalahnya seperti semua tahu bahawa ada negara yang terlibat dalam konflik di Gaza ini sentiasa mengalihkan 'goal post' -nya.
"Jadi ini bukan satu perkara yang mudah kata beliau (Campbell)... tetapi usaha dilakukan dengan sebaik yang mungkin untuk pastikan gencatan senjata ini dapat dicapai,’’ kata Mohamad yang berada di sini sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-79.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata pertemuan dengan Campbell itu diadakan bagi membolehkan Malaysia menyatakan pandangannya berkenaan konflik di Gaza.
Selain itu, Malaysia juga mahu mengetahui secara langsung daripada Campbell sendiri mengenai usaha Washington dalam merealisasikan perjanjian tersebut.
Rundingan gencatan senjata melibatkan Israel dan Hamas ketika ini belum membuahkan sebarang hasil walaupun beberapa pertemuan melibatkan wakil kedua-dua pihak dengan wakil negara pengantara seperti Qatar, Mesir dan Turkiye sudah beberapa kali dilangsungkan.
#Gaza #gencatan senjata #Malaysia #UNGA79
;