Gencatan senjata bukan tamatkan usaha cari keadilan - CENTHRA

Nursyazwani Saiful Sham
Januari 16, 2025 10:50 MYT
Menurut CENTHRA, gencatan senjata tidak boleh dan tidak harus disalah anggap sebagai keamanan yang sejati tanpa keadilan.
KUALA LUMPUR: Perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara Hamas dan Israel tidak boleh disalah tafsir sebagai pengampunan tanggungjawab atau penghentian usaha mencari keadilan.
Ini kerana sejarah berulang kali menunjukkan bahawa Israel melanggar perjanjian gencatan senjata tanpa sebarang tindakan balas, yang hanya menguatkan lagi ketidakpercayaan dan memburukkan penderitaan rakyat Palestin.
Pengasas dan Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) Azril Mohd Amin berkata, komuniti antarabangsa mesti memastikan kekejaman ini tidak berulang.
"Pada 21 Nov 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanan Yoav Gallant susulan penglibatan mereka dalam kezaliman yang merupakan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.
"Pengeluaran waran tangkap ini menandakan satu detik penting dalam perjuangan mencari keadilan. Adalah penting untuk memastikan penguatkuasaan waran ini. Gencatan senjata tidak dan tidak boleh menjadikan waran ini tidak relevan.
"Tanggungjawab ke atas jenayah yang kejam, termasuk pembunuhan beramai-ramai, pembunuhan secara sengaja terhadap penduduk (seperti Holodomor), pemusnahan institusi pendidikan (educide) dan pembunuhan sasaran terhadap kanak-kanak (juvenicide) di Gaza, kekal tidak boleh dirundingkan," jelasnya.
Azril berkata, perjanjian gencatan senjata ini adalah saat penentu bagi komuniti antarabangsa.
"Diam dan tidak peduli sama sahaja dengan bersubahat.
"Keadilan, tanggungjawab dan kedaulatan undang-undang mesti diteruskan. Usaha untuk mencari keadilan melalui mekanisme undang-undang seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mesti diteruskan.
"Gencatan senjata tidak boleh dan tidak harus disalah anggap sebagai keamanan yang sejati tanpa keadilan.
"Dunia mesti bertindak dengan tegas untuk memastikan jenayah-jenayah ini tidak berulang dan untuk membolehkan rakyat Palestin hidup dengan bermaruah, bebas dan aman," tambahnya.
#gencatan senjata #Gaza #Israel #Centhra
;