Gencatan senjata 30 hari di Syria bermula - PBB
Agensi
Februari 24, 2018 05:09 MYT
Februari 24, 2018 05:09 MYT
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara meluluskan satu resolusi yang menuntut gencatan senjata selama 30 hari dilaksanakan serta merta di seluruh Syria bermula Ahad.
Ia adalah bagi memudahkan urusan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada berjuta-juta penduduk Syria yang menderita akibat konflik di rantau itu.
Bagaimanapun, negara penaja bagi proses terbabit iaitu Kuwait dan Sweden sebelum itu telah cuba menunda tarikh penguatkuasaan gencatan senjata selama 72 jam.
Kedua-dua negara penaja memberi alasan mahukan sokongan negara sekutu Syria iaitu Rusia untuk bersetuju terlebih dahulu, namun ia ditolak selepas undian memihak kepada gencatan senjata serta merta.
"Keputusan undi adalah seperti berikut. Draf telah menerima 15 undi yang menyokong. Oleh itu, draf diterima sebulat suara sebagai resolusi 2401 untuk tahun 2018," umum duta Kuwait ke PBB, Mansour Ayyad Al-Otaibi selepas undian dibuat pada petang Sabtu.
Kenyataan Kuwait tersebut kemudian disokong Sweden melalui Duta Besarnya ke PBB, Olof Skoog yang menyifatkan langkah terbabit sebagai cara terbaik mengatasi masalah keganasan dan menyelamatkan jutaan nyawa rakyat Syria.
"Konvoi dan pasukan pemindahan PBB sudah bersedia untuk pergi," jelasnya.
Undian yang pada mulanya dijangka pada Khamis, ditangguhkan hingga Jumaat dan akhirnya dijadualkan semula untuk Sabtu.
Usul terbabit telah dibawa Sweden dan Kuwait dua minggu lalu.
Pada Khamis, Duta Besar PBB ke Russia, Vassily Nebenzia menegaskan berulang kali bahawa gencatan senjata segera itu merupakan langkah tidak realistik oleh badan dunia itu.