Gencata senjata: Israel akan bebaskan 2,000 banduan Palestin pada fasa pertama perjanjian

Agensi
Januari 18, 2025 07:15 MYT
Gambar fail menunjukkan sekumpulan banduan Palestin mengibar bendera Palestian sebaik bebas dari Penjara Tentera Israel pada November 2023. - Gambar fail Reuters
BAITULMAQDIS: Israel dijangka membebaskan hampir 2,000 banduan Palestin dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata untuk tebusan, yang akan berkuat kuasa pagi ini.
Perjanjian gencatan senjata itu mempunyai tiga fasa dengan fasa pertama dijangka berlangsung selama enam minggu dan menyaksikan pembebasan 33 tebusan Israel.
Tebusan asing termasuk rakyat Amerika Syarikat juga dijangka dibebaskan, menurut sumber yang mengetahui perjanjian itu kepada CNN pada Jumaat.
Kerajaan Israel meluluskan perjanjian gencatan senjata ini selepas lebih tujuh jam perbincangan pada Jumaat sehingga awal pagi Sabtu.
Sebagai sebahagian daripada resolusi untuk meluluskan perjanjian tersebut, kerajaan pada Jumaat menyatakan bahawa mereka telah meluluskan pembebasan 737 banduan dan tahanan Palestin serta 1,167 penduduk Gaza yang ditahan semasa serangan ketenteraan di wilayah tersebut.
Namun, Pejabat Media Banduan yang berpangkalan di Gaza dalam kenyataan pada Sabtu berkata, Israel akan membebaskan 1,737 banduan termasuk 120 wanita dan kanak-kanak.
Hampir 300 rakyat Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup juga termasuk dalam senarai pembebasan, menurut organisasi itu.
Tidak jelas mengapa kedua-dua pihak mengeluarkan angka yang berbeza.
CNN telah menghubungi kedua-duanya untuk mendapatkan penjelasan lanjut. - CNN
#gencatan senjata #banduan Palestin #Benjamin Netanyahu #perjanjian gencatan senjata
;