Genap setahun tragedi Gua Tham Luang

Astro Awani
Jun 24, 2019 23:15 MYT
Bekas jurulatih Ekkapol Chanthawong (belakang, empat dari kiri) dan ahli pasukan Wild Boars yang diselamatkan dari terperangkap dalam gua setahun lepas, bergambar pada satu sidang media di Mae Sai, Chiang Rai, Thailand, 24 Jun, 2019. (Foto AP)
12 kanak-kanak lelaki dan jurulatih yang terperangkap dalam sebuah gua di wilayah Chiang Rai dekat sempadan Myanmar di utara Thailand meraikan ulang tahun memperingati insiden itu, pada Isnin.
Kumpulan pasukan bola sepak, Moo Pa (Wild Boars) memasuki gua di pergunungan Doi Nang non pada 23 jun tahun lalu, sebelum terperangkap selama 10 hari di dalam gua yang banjir.
Sempena setahun insiden berkenaan, mereka mengadakan upacara keagamaan dan hadir sidang media bertujuan berkongsi kisah hidup sepanjang tahun lalu.
Ketika upacara, kanak-kanak berusia antara 12 hingga 17 tahun itu bersama jurulatihnya turut memberi penghormatan kepada bekas Penyelam Tentera Laut Seal, Saman Gunan yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat.
Salah seorang mangsa, Adul Sam-On menyifatkan Saman sebagai ayah kedua dan berkata dia setiap hari memikirkan lelaki itu.
Saman yang merupakan penyelam sukarelawan meninggal dunia pada 6 Julai tahun lalu ketika memasang tangki oksigen di dalam gua yang dipenuhi air.
Sejak hari itu, dunia menganggapnya sebagai wira.
Pakar-pakar gua dari Britain memainkan peranan penting sepanjang misi menyelamat dan merupakan pasukan penyelamat pertama menemukan kumpulan remaja itu dan jurulatih mereka.
Dalam insiden berkenaan, kesemua mangsa berjaya diselamatkan selepas operasi tiga hari.
#banjir #gua Tham Luang #hilang dalam gua #Myanmar #Setahun insiden Gua Tham Luang #Thailand
;