Genap 81 tahun, usia Joe Biden menjadi kebimbangan menjelang pilihan raya 2024
Astro Awani
November 21, 2023 08:30 MYT
November 21, 2023 08:30 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden meraikan ulang tahun kelahirannya ke-81 pada Isnin, sekali gus mendominasi kempen pemilihan semula beliau pada pilihan raya 2024.
Pada usia berkenaan, sejumlah besar warga AS menyatakan kebimbangan Biden sudah terlalu tua untuk kembali memimpin negara yang mempunyai populasi hampir 340 juta orang itu.
Beliau meyakinkan pengundi dan rakyat AS bahawa usia dan pengalamannya lebih separuh abad dalam sektor awam merupakan aset yang berupaya menyelesaikan masalah rakyat.
“Hari ini adalah hari ulang tahun saya. Saya hanya ingin kamu tahu, sukar untuk berusia 60 tahun," katanya berjenaka dalam majlis meraikan kelahirannya di White House pada Isnin.
Presiden AS itu sangat terkenal gemar berseloroh mengenai usianya.
Pada Jun lalu, dalam jenakanya, beliau berkata: “Saya tahu saya berusia 198 tahun.”
Dalam perkembangan sama, beberapa kali selidik yang dibuat menunjukkan usia beliau masih menjadi salah satu kelemahan utamanya pada pilihan raya.
Pada ketika ini, Biden dari parti Demokrat sudah pun menjadi presiden tertua dalam sejarah AS dan beliau akan berusia 86 tahun sekiranya menamatkan satu lagi penggal seandainya dipilih semula.
Satu kajian oleh Universiti Monmouth pada Oktober mendapati 76 peratus pengundi percaya bahawa Biden terlalu tua untuk berkhidmat secara efektif untuk penggal kedua, berbanding dengan 48 peratus yang berkongsi perkara sama mengenai calon utama parti Republik, Donald Trump, yang berusia 77 tahun.
"Pandangan kami adalah bukan tentang usia. Ini tentang pengalaman presiden," Setiausaha Akhbar White House, Karine Jean-Pierre menjawab kebimbangan usia Presiden Biden.
"Saya akan meletakkan kecergasan presiden, kebijaksanaan presiden, keupayaan untuk menyelesaikan sesuatu untuk rakyat Amerika terhadap sesiapa sahaja pada bila-bila masa dalam seminggu."
Sementara itu, satu kajian oleh NBC News yang dikeluarkan pada Ahad mendapati Biden ketinggalan dalam pertandingan semula hipotetikal menentang Trump dalam kalangan pengundi berusia 18 hingga 34 tahun, kumpulan yang secara tradisi merupakan sebahagian daripada pengundi akar umbi parti Demokrat.
Trump mendapat sokongan 46 peratus daripada pengundi muda, dan Biden pula disokong oleh 42 peratus.
Kajian kadar puas hati terhadap Biden juga merosot kepada 40 peratus, yang merupakan paras terendah dalam kajian tersebut,dan bahawa Trump, walaupun menghadapi pelbagai dakwaan dan masalah undang-undang, mengungguli di peringkat nasional..
Jean-Pierre turut mengakui, sebilangan rakyat AS mempunyai pandangan tersendiri mengenai Biden.
"Kita tidak akan mengubah pendapat rakyat Amerika. Saya sangat memahaminya. Rakyat Amerika akan merasai apa yang mereka rasa dan kita akan menghormati perkara itu," katanya.
"Apa yang boleh saya beritahu anda adalah pandangan kami. Apa yang boleh saya beritahu anda adalah bagaimana kami melihat perkara ini. Dan kami percaya bahawa pengalaman presiden ini untuk menyelesaikan sesuatu adalah penting."
Kebimbangan mengenai usia Biden telah mencetuskan cabaran daripada pimpinan Demokrat yang telah berhujah untuk melahirkan satu generasi baharu kepemimpinan Demokrat di White House.
Sesetengah calon Republik pula telah secara terbuka mempertikaikan sama ada Biden akan menamatkan penggal kedua jika beliau dipilih semula selain mengingatkan pengundi bahawa undi bagi Biden adalah undi bagi Naib Presiden, Kamala Harris sebagai presiden.
Biden telah menjawab soalan mengenai usianya secara rutin sejak mengumumkan hasrat untuk bertanding semula pada pilihan raya 2024.
"Saya menghormati mereka yang meneliti perkara itu dengan teliti," kata Biden pada April, merujuk kepada pengundi yang risau tentang usianya.
"Saya juga akan mengkaji perkara itu dengan teliti. Saya telah mengkaji perkara itu dengan teliti sebelum saya membuat keputusan untuk bertanding dan saya rasa sangat baik," kata Biden lagi.