Gempar penemuan objek disangka bahan letupan di Pasar Krismas
Astro Awani
Disember 1, 2017 06:10 MYT
Disember 1, 2017 06:10 MYT
Pihak polis di Potsdam, Jerman sedang menyiasat penemuan sebuah peranti dipenuhi paku yang ditemukan bersebelahan pasar sempena Krismas.
Peranti yang dilengkapi dengan bateri dan wayar itu kemudian dihantar ke sebuah farmasi di barat daya Berlin.
Objek yang pada mulanya disangka bahan letupan walau bagaimanapun disahkan sebagai peranti yang tidak mempunyai bahan peledak.
Jerman berada di dalam keadaan berjaga-jaga setahun selepas 12 orang maut dalam kejadian serangan oleh kumpulan militan di beberapa pasar sempena Krismas di negara itu.
Jurucakap polis berkata satu imbasan sinar-X dilakukan ke atas peranti tersebut dan mendapati ia dipenuhi paku.
Menteri Dalam Negeri Brandenburh, Karl-Heinz Schroter berkata pihak polis kini sedang melakukan pencarian di kawasan tersebut bagi memastikan tiada lagi peranti lain yang ditinggalkan.
“Setakat ini kita tidak tahu jika peranti ini sepatutnya diletupkan atau palsu atau satu ujian,” kata beliau.
Lebih 2,600 pasar sempena Krismas dibuka di seluruh negara pada Isnin yang mampu menjana kira-kira AS$2.7 bilion setahun.
Tahun ini, kawalan keselamatan di kawasan pasar tersebut dipertingkatkan susulan amaran Menteri Dalam Negeri Jerman minggu lalu yang menyatakan terdapat risiko berlakunya serangan di negara itu atau di rantau Eropah.
Tahun lalu, seorang warga Tunisia di bawah suaka politik, Anis Amri, merampas sebuah lori dan membunuh pemandunya sebelum merempuh pengunjung pasar Krismas di Berlin yang meragut nyawa 11 orang.