Gempar apabila wartawan 'mati ditembak' tiba-tiba muncul dalam sidang media
Agensi
Mei 31, 2018 14:24 MYT
Mei 31, 2018 14:24 MYT
Wartawan Rusia, Arkady Babchenko yang dilapor mati ditembak pada Selasa membuat kejutan apabila tiba-tiba muncul dalam satu sidang media pada Rabu.
Dalam sidang media itu yang berlangsung di Ukraine, Babchenko ditemani beberapa pegawai dari Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) memaklumkan tindakan terpaksa memalsukan kematian wartawan itu sebagai satu cara untuk mengesan pihak yang merancang membunuhnya.
"Melalui rancangan ini, kami dapat merungkai plot mereka yang merancang untuk membunuhnya," kata jurucakap SBU, Vasyl Grytsak yang menyebut bahawa rancangan itu dirangka lebih dua bulan.
Laporan sebelum ini menyebut Babchenko ditembak beberapa kali di rumahnya yang membawa kepada kematiannya.
Babchenko dikenali kerana kelantangannya mengkritik Kremlin. Dia melarikan diri dari Rusia pada 2017 selepas menerima ugutan gara-gara satu entri di Facebook berhubung insiden pesawat Tu-15 terhempas di Laut Hitam yang didakwa membawa kumpulan Red Army ke Syria.
"Saya minta maaf terutama kepada isteri saya Olga. Saya tahu dia sangat sedih dan terkejut, tetapi memang tidak ada cara lain lagi.
"Yang penting rancangan ini telah menyelamatkan nyawa saya," kata Babchenko.
#Arkady Babchenko
#ditembak
#keselamatan
#mati
#pesawat
#Russia
#Syria
#terhempas
#Ukraine
#wartawan