Gempa Turkiye, Syria: Turkiye perluas siasatan bangunan runtuh, angka korban cecah 50,000

Astro Awani
Februari 26, 2023 08:45 MYT
Sebuah bangunan yang runtuh di Samandag, selatan Turkiye susulan gempa bumi yang melanda negara itu. - Foto AP
SIASATAN terhadap keruntuhan bangunan dalam gempa bumi dahsyat awal bulan ini semakin meluas apabila Turkiye menahan 184 individu yang disyaki bertanggungjawab ke atas insiden itu.
Perkara itu dinyatakan seorang Menteri Kabinet Turkiye ketika kemarahan orang ramai semakin memuncak terhadap isu rasuah berhubung prosedur pembinaan bangunan.
Pada Sabtu, jumlah kematian akibat gempa bumi meningkat kepada 44,128 di Turkiye menjadikan jumlah keseluruhan kematian di Turkiye dan negara jiran Syria kini lebih 50,000.
Lebih 160,000 bangunan yang mengandungi 520,000 pangsapuri runtuh atau rosak teruk di Turkiye, yang terburuk dalam sejarah moden negara itu.
Menteri Kehakiman, Bekir Bozdag berkata, lebih 600 individu telah disiasat berkaitan dengan bangunan runtuh.
Mereka yang secara rasmi ditangkap dan direman dalam tahanan termasuk 79 kontraktor pembinaan, 74 individu yang bertanggungjawab ke atas bangunan, 13 pemilik hartanah dan 18 individu yang telah membuat pengubahsuaian bangunan.
Presiden Recep Tayyip Erdogan menghadapi cabaran politik terbesar dalam pemerintahannya selama dua dekad dalam pilihan raya yang dijadual diadakan menjelang Jun, dan telah menjanjikan akauntabiliti dan tata kelola lebih baik.
#gempa turkiye #penahanan #Rasuah #prosedur pembinaan bangunan
;