Gempa Turkiye, Syria: Lagi mangsa ditemui selamat, angka korban cecah 12,000

Astro Awani
Februari 9, 2023 09:45 MYT
Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun ditemui selamat di bawah runtuhan bangunan di Hatay, Turkiye. - Foto REUTERS
ANTAKYA: Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan susulan kejadian gempa bumi yang kini telah mengorbankan lebih 12,000 nyawa di Turkiye dan Syria.
Selama dua hari sejak gempa berukuran 7.8 magnitud melanda, ribuan anggota penyelamat bekerja tanpa henti mengharungi cuaca sejuk untuk mencari mangsa yang masih hidup di kedua-dua negara itu.
Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Turkiye, Kerem Kinik memberi amaran 72 jam pertama merupakan waktu kritikal dalam usaha mencari dan menyelamat.
Namun beliau akui pasukan penyelamat berdepan cabaran akibat "cuaca sejuk melampau".
Pasukan kecemasan menemui beberapa kanak-kanak yang terselamat di bawah runtuhan bangunan di Hatay pada Rabu, kawasan paling teruk terjejas di Turkiye.
"Tiba-tiba kami terdengar suara. Dengan bantuan mesin pengorek kami berjaya menyelamatkan mangsa," kata seorang anggota penyelamat Alperen Centinkaya seperti dipetik agensi berita Reuters.
Pihak berkuasa berkata sejumlah 9,057 orang terkorban dalam gempa bumi yang melanda Turkiye manakala 2,992 maut di Syria menjadikan jumlah keseluruhan ketika ini kepada 12,049.
#gempa turkiye #mangsa terperangkap #runtuhan bangunan #Kanak-kanak
;