Gempa Turkiye, Syria: Bekas penyerang Chelsea Atsu dilaporkan hilang
Astro Awani
Februari 6, 2023 05:40 MYT
Februari 6, 2023 05:40 MYT
ANKARA: BEKAS penyerang Chelsea dan Newcastle Christian Atsu dilaporkan hilang dipercayai terperangkap di bawah timbunan runtuhan susulan gempa bumi kuat yang melanda Turkiye.
Kejadian pada Isnin itu telah menyebabkan lebih 3,500 orang kehilangan nyawa.
Pemain warga Ghana itu, yang ketika ini bermain untuk kelab bola sepak Hatayspor, dipercayai berada dalam salah satu bangunan yang musnah ketika gempa berlaku.
Menurut jurucakap Hatayspor, pengarah kelab berkenaan Taner Savut juga dipercayai berada dalam bangunan itu dan panggilan kepada kedua-dua mereka tidak dijawab.
"Kami percaya mereka terperangkap di bawah timbunan runtuhan," kata Mustafa Ozat.
Tambahnya, sekurang-kurangnya dua lagi pemain Hatayspor telah berjaya diselamatkan daripada timbunan runtuhan.
Pemain berusia 31 tahun itu menyertai Hatayspor, yang berpangkalan di Antakya, tahun lepas selepas bermain di kelab Arab Saudi.
Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda sebahagian besar Turkiye dan Syria awal pagi Isnin.
Gempa berkenaan berpusat di wilayah Kahramanmaras dan boleh dirasai sehingga ke Kaherah di Mesir.
Beberapa jam kemudian, gempa kedua berukuran 7.5 magnitud melanda lebih 100 kilometer dari pusat gempa pertama dan menyebabkan lebih banyak kemusnahan.