Gempa Turkiye: "Saya seperti dilahirkan semula" - Mangsa terselamat

Hasimi Muhamad
Februari 6, 2023 05:50 MYT
Osama Abdelhamid berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan empat anaknya sedang tidur di rumahnya. - Foto AP
"SAYA seperti dilahirkan semula... Terima kasih Tuhan."
Demikian kata salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian gempa bumi kuat yang melanda Selatan Turkiye dan Utara Syria pada Isnin.
Pemuda itu yang dikenali sebagai Osama Abdelhamid berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan empat anaknya sedang tidur di rumahnya.
Jelas Osama, dia kemudian merasa gegaran kuat di bangunan empat tingkat yang didiami mereka.
"Kami merasakan gempa itu, ia sangat kuat... Saya menarik keluar bersama anak-anak dan isteri serta berlari terus ke arah pintu masuk rumah.
"Apabila kami sampai ke pintu masuk bangunan itu, ia tiba-tiba runtuh di atas kami.
"Tuhan menyelamatkan kami apabila pintu kayu jatuh ke atas kami dan menyelamatkan kami," katanya yang tidak dapat menahan sebak, memetik laporan AP.
Bercerita lanjut, Osama berkata tiga anaknya mengalami luka di bahagian kepala dan muka, sementara seorang lagi anak perempuannya tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Isteri saya juga luka di kepala dan muka. Alhamdulillah kami datang ke hospital dan mendapatkan pertolongan cemas," ujarnya.
Osama turut memaklumkan, difahamkan semua penghuni yang berada di tingkat tiga bangunan tersebut tidak dapat diselamatkan.
Ketika ini, angka korban gempa bumi yang melanda Selatan Turkiye dan Utara Syria meningkat kepada sekurang-kurangnya 3,500 orang.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan sedang giat dijalankan.
Gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter berlaku pada 4.17 pagi waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik, wilayah Kahramanmaras.
#Gempa bumi Turkiye #Angka korban gempa bumi Turkiye #mangsa #Syria
;