Gempa Turkiye: Lelaki 62 tahun ditemui selamat selepas 187 jam terperangkap di bawah runtuhan

Agensi
Februari 16, 2023 16:46 MYT
Huseyin Berber, yang juga pesakit kencing manis kini dirawat di Hospital Bandar Mersin di Wilayah Antakya. - Gambar REUTERS
ANTAKYA: Seorang lelaki warga emas berjaya diselamatkan selepas 187 jam terperangkap di bawah runtuhan pangsapuri yang didiaminya di Mersin, Turkiye pada 14 Februari lalu.
Dia berjaya diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat selepas salah seorang petugas mendengar suaranya ketika misi mengesan mangsa dijalankan di kawasan runtuhan.
Huseyin Berber, 62, yang juga pesakit kencing manis menceritakan detik hitam itu kepada agensi berita antarabangsa pada Khamis.
Kata warga emas itu, untuk meneruskan hidup, dia tiada pilihan lain selain daripada terpaksa meminum air kencingnya sendiri ketika terperangkap di antara sisa runtuhan.
"Saya hanya ingat ketika saya sedar telah terperangkap dalam runtuhan. Ketika itu semuanya gelap, terlalu gelap sehingga saya tidak dapat melihat badan saya sendiri.
"Saya menjerit minta tolong, tetapi tiada siapa mendengar. Bangunan ini 15 tingkat, saya bersyukur bila saya dengar bunyi dari kawasan atas runtuhan, saya terus menjerit walaupun tekak saya mulai bengkak," jelasnya.
Tambah Huseyin, gempa kedua yang berlaku mengakibatkan siling turut runtuh, namun tidak mengenainya.
"Gempa kedua, siling runtuh tapi tidak kena saya. Saya terpaksa sengetkan badan dan duduk di antara runtuhan yang menimpa peti sejuk dan kabinet rumah saya.
"Hanya permaidani saya guna untuk menyelimut saya sepanjang masa sebelum saya dapat mencapai satu kerusi berhampiran dan duduk menunggu diselamatkan," katanya.
Selama terperangkap di bawah runtuhan itu, Huseyin berkata, dia hanya hidup dengan meminum air kencing sendiri untuk kekal hidrat.
"Saya pesakit kencing manis, ketika kejadian ubat dan sebotol air jatuh ke arah saya. Saya minum hingga habis, kemudian saya terpaksa kencing dalam botol untuk diminum.
"Apabila air kencing itu sejuk, saya minum untuk selamatkan diri saya," katanya lagi.
Huseyin diselamatkan pasukan penyelamat dan dikejarkan ke Hospital Bandar Mersin di Wilayah Antakya untuk diberikan rawatan lanjut.
Sehingga kini, lebih 41,000 mangsa maut dalam kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria, manakala lebih 12,000 bangunan dilaporkan runtuh akibat gempa itu.
#Gempa bumi Turkiye #Huseyin Berber #terperangkap 187 jam #Turkiye
;