Gempa Turkiye: Anjing ditemui selepas 23 hari terperangkap di bawah runtuhan

Agensi
Mac 2, 2023 14:17 MYT
Tidak lama selepas itu, pasukan penyelamat merangkak di bawah runtuhan untuk mencari kedudukan anjing itu. Sumber foto Twitter - Top Viral Media @Top_Viral_Media
ISTANBUL: Seekor anjing berjaya diselamatkan selepas tertimbus di bawah runtuhan selama 23 hari berikutan kejadian gempa bumi di Turki dan Syria, bulan lalu.
Menurut laporan New York Post, anjing baka Husky bernama Alex berjaya ditarik keluar dari timbunan konkrit dan serpihan bangunan berhampiran Antakya di wilayah Hatay di Turki.
Dalam pada itu, ketika kejadian pasukan keselamatan yang berada di kawasan itu meninjau lokasi untuk membina tempat perlindungan sementara bagi mangsa gempa tiba-tiba terdengar bunyi anjing menyalak namun tidak jelas.
Tidak lama selepas itu, pasukan penyelamat merangkak di bawah runtuhan untuk mencari kedudukan anjing itu.
Selepas pencarian selama sejam setengah, mereka berjaya menarik keluar anjing berkenaan dan menyatukannya semula dengan pemiliknya yang berada di tempat kejadian.
Di dalam video yang tular, Alex ketika ditemui kelihatan terkejut dan lemah diberi makanan dan air dan seterusnya dibawa ke Persekutuan Hak Haiwan Turki untuk rawatan perubatan.
Agensi Berita Anadolu melaporkan, seorang sukarelawan dengan pertubuhan hak haiwan memberitahu bahawa Alex kehilangan berat badan namun berada dalam keadaan baik.
Hatay, wilayah lokasi Alex diselamatkan musnah akibat gempa bumi berganda yang menggegarkan bahagian selatan Turki dan utara Syria pada 6 Februari dengan lebih 50,000 korban di kedua-dua negara.
#pasukan penyelamat #anjing Turki #Hatay #Gempa bumi Turkiye
;