Gempa-tsunami Palu: Hadiah perkahwinan pun kena rembat
Sinar Harian
Oktober 3, 2018 09:18 MYT
Oktober 3, 2018 09:18 MYT
Perbuatan mencuri di pasar raya antara krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Sulawesi Tengah selepas pasca gempa bumi 7.5 skala Richter pada Jumaat lalu.
Bukan itu sahaja, mangsa gempa yang terdesak turut menyerbu trak pasukan bantuan antarabangsa sebelum ia sempat tiba ke destinasi dituju.
Namun, terdapat juga individu tidak bertanggungjawab memecah masuk kediaman yang rosak akibat dipukul gelombang tsunami untuk mencuri barangan berharga.
Ditha Ayu Kumalasari yang menetap di kawasan perumahan eksklusif di Petobo berkata, rumahnya antara sasaran pencuri.
"Rumah saya juga jadi sasaran pencuri. Beberapa pakaian saya, suami dan anak-anak sudah tiada. Laptop juga dibawa lari.
"Malah hadiah perkahwinan dan mas kahwin yang disimpan sebagai tanda kenangan juga hilang entah kemana," katanya dengan nada sedih.
Media tempatan turut melaporkan aktiviti jenayah di Palu semakin tidak terkawal termasuk perbuatan memecahkan mesin ATM.