Gempa Taiwan: Filipina, Jepun batal amaran tsunami

Sinar Harian
April 3, 2024 13:10 MYT
Jabatan Bomba mengesahkan kira-kira 26 struktur terkesan gempa paling kuat dalam tempoh 25 tahun itu selain lebih 87,000 isi rumah terputus bekalan kuasa elektrik. - Gambar/ AP
PUSAT Amaran Tsunami Pasifik pada Rabu memaklumkan tiada lagi risiko ancaman tsunami selepas Taiwan digegarkan gempa kuat 7.4 pada skala Richter yang turut menyebabkan seorang maut manakala lebih 50 cedera.
Pengumuman itu dibuat kira-kira dua jam selepas gegaran tersebut dilaporkan pada jam 8 pagi (waktu tempatan) hingga mencetuskan amaran tsunami di Taipei, selatan Jepun dan Filipina.
"Penduduk berhampiran kawasan pantai bagaimanapun masih perlu berwaspada," ujarnya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan AFP.
Jabatan Bomba mengesahkan kira-kira 26 struktur terkesan gempa paling kuat dalam tempoh 25 tahun itu selain lebih 87,000 isi rumah terputus bekalan kuasa elektrik.
Sementara itu, Pentadbiran Cuaca Taiwan turut merekodkan lebih 25 gempa susulan.
Dalam perkembangan berkaitan, Filipina juga menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan di bahagian utara negara itu selepas ia mengeluarkan arahan berpindah ke atas penduduk di kawasan pesisir pantai di wilayah Batanes, Cagayan, Ilocos Norte dan Isabela.
"Keputusan itu dibuat berdasarkan data tersedia stesen pemantauan paras laut yang menghadap kawasan pusat gempa.
"Tiada gangguan paras laut ketara direkodkan sejak jam 7.58 pagi (waktu tempatan) hingga pembatalan amaran tsunami," kata agensi seismologi tempatan.
Keputusan sama turut dibuat Tokyo selepas Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memberi amaran tentang risiko gelombang tsunami setinggi tiga meter di Pulau Okinawa.
Beberapa jam selepas itu, hanya gelombang kecil dilaporkan melanda di beberapa lokasi. - Sinar Harian/ Agensi
#gempa bumi #Taiwan #amaran tsunami #Jepun
;