Gempa Syria: Kemelut politik sukarkan usaha pemulihan bandar
Hilmi Malik
Februari 16, 2023 19:32 MYT
Februari 16, 2023 19:32 MYT
JENDIRIS: Ketegangan politik yang masih berlarutan di kawasan barat laut Syria mengakibatkan usaha pemulihan bencana gempa bumi menjadi sukar.
Datuk Bandar Jendiris, Mahmoud Haffar berkata, situasi ketika ini amat mencabar sekiranya tidak mendapat pertolongan semua pihak.
“Sekarang ini kita bergerak sendiri, jadi memang kita tak mampu untuk pulihkan segalanya.
“Jika masalah politik berterusan maka usaha pemulihan memang akan jadi sukar.
“Kita memang ada terima bantuan tapi ia masih belum cukup untuk tampung semua mangsa di negara ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.
Dalam pada itu, Mahmoud meletakkan harapan yang sangat tinggi terhadap negara luar untuk menghulurkan pertolongan.
“Situasi buat masa ini memang sangat buruk kerana semua mangsa secara tiba-tiba hilang tempat tinggal.
“Mangsa terpaksa keluar sendiri untuk dapatkan bantuan dan keadaan ini sukar untuk mereka.
“Sejak hari.pertama gempa yang berlaku, tiada bantuan dari negara luar dan hanya dari pihak berkuasa tempatan," jelasnya.
Ujar beliau, bagi kawasan Jendiris sahaja, hampir 4,000 keluarga terpaksa berputih mata susulan kehilangan tempat tinggal akibat bencana berkenaan.
Penempatan khemah sedia ada sebanyak 2,500 unit juga belum mampu untuk menampung keseluruhan mangsa terlibat.
Selain itu, bandar Jendiris turut berdepan kemusnahan tujuh buah kilang roti yang merupakan makanan utama di negara berkenaan.
“Sekarang kita cuma ada satu kilang roti yang tinggal untuk keperluan bagi kawasan ini dan kita juga alami masalah kurang bekalan air bersih.
“Kita mohon bantuan kecemasan terhadap seluruh negara supaya dapat salurkan bantuan untuk semua mangsa,” katanya lagi.