Gempa Syria: Bayi ditemui di bawah runtuhan dinamakan Afraa

Agensi
Februari 21, 2023 15:01 MYT
Ribuan orang menawarkan untuk mengambil bayi baru lahir itu yang ditemui dengan tali pusatnya masih terikat dengan ibunya yang meninggal dunia.- REUTERS/Khalil Ashawi
ISTANBUL: Hak penjagaan seorang bayi yang dilahirkan di bawah sebuah bangunan runtuh selepas bencana gempa bumi di Syria 6 Februari lalu dilaporkan telah diberikan hak penjagaan kepada ibu dan bapa saudaranya.
Memetik laporan BBC, bayi yang diberi nama Afraa itu sebelum ini sempat dinamakan sebagai Aya olah pasukan penyelamat yang bermaksud keajaiban dalam bahasa Arab selepas menemuinya di bawah runtuhan bangunan.
“Dia dibenarkan keluar dari hospital selepas ujian DNA mengesahkan ibu saudaranya adalah saudara kandung. Doktor memaklumkan bayi terbabit dalam keadaan sihat.
“Dia adalah salah seorang anak saya sekarang. Saya tidak akan membezakan dia dengan anak-anak saya yang lain,” kata bapa saudara bayi terbabit, Khalil al-Sawadi kepada agensi berita Associated Press.
Difahamkan, ribuan orang menawarkan untuk mengambil bayi baru lahir itu yang ditemui dengan tali pusatnya masih terikat dengan ibunya yang meninggal dunia.
Video menyelamat berkenaan tular di media sosial. Rakaman dramatik menunjukkan seorang lelaki berlari keluar dari serpihan sambil membawanya yang diliputi debu dalam pelukannya.
Bayi itu dilaporkan berada di bawah bangunan runtuh selama lebih 10 jam dan doktor berkata bayi itu tiba di hospital dalam keadaan teruk, dengan lebam dan luka di seluruh badannya.
Khalil yang turut berada di lokasi semasa Afraa diselamatkan, memberitahu Associated Press dia bimbang seseorang berkemungkinan menculik bayi itu ketika berada di hospital selama dua minggu.
#bangunan runtuh #bayi #pasukan penyelamat #Syria
;