Gempa Sulawesi: Sekurang-kurangnya tiga maut, puluhan cedera, 2,000 penduduk dipindahkan
Astro Awani
Januari 15, 2021 10:31 MYT
Januari 15, 2021 10:31 MYT
BEBERAPA daerah di Selawesi Barat, Indonesia digoncang gempa bumi sekuat 6.1 magnitud, pada awal pagi Jumaat, dan sekurang-kurangnya tiga orang sudah disahkan terkorban dan puluhan yang lain cedera, lapor media tempatan.
Portal berita Kompas.com melaporkan, Ketua Pusat Data, Informasi, dan Komunikasi Bencana (BNPB) Raditya Jati berkata, gempa bumi yang mula dirasai sejak Khamis itu bukan sahaja meragut nyawa malah mengakibatkan banyak bangunan musnah dan rosak termasuk bangunan pejabat Gabenor Sulawesi Selatan serta hotel.
Sehingga kini, bekalan elektrik di banyak kawasan di daerah Mamuju terputus.
Raditya dipetik sebagai berkata: "Sejumlah 2,000 penduduk tempatan dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat. Kemusnahan teruk yang dikenal pasti antaranya adalah Hotel Maleo dan bangunan pejabat Gabenor Sulawesi Selatan.”
Banyak kemusnahan juga terjadi di daerah Majene, sementara jalan yang menghubungkan Majene dan Mamuju juga terputus akibat gelongsoran tanah.
Pihak BPBD sehingga kini giat menjalankan kerja-kerja pengurusan bencana, termasuk memberikan bantuan pada mangsa yang cedera, pemindahan, pendataan dan membina pusat penempatan sementara.
“Keperluan terdesak ketika ini adalah berupa barangan asas, selimut, tikar, khemah keluarga, rawatan perubatan dan kanvas,” tambah Raditya.
Gempa Sulawesi | Usaha selamatkan mangsa dipergiat | Sumber: KOMPAS TV
Sementara itu, wakil agensi berita antarabangsa Reuters yang melaporkan korban nyawa sudah mencapai tujuh orang, manakala mereka yang cedera bertambah menjadi ratusan.
Lebih ramai mangsa sudah dikenal pasti terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan kini usaha mengeluarkan mereka sedang giat dijalankan pasukan mencari dan menyelamat.
Dalam kejadian sekitar jam 2.28 pagi itu, gempa dikesan berlaku pada kedudukan 143 kilometer (km) barat dari Palopo, Indonesia dengan kedalaman 27km.
Bencana itu merosakkan sebahagian hospital, memaksa pesakit dipindahkan ke khemah-khemah kecemasan yang didirikan di kawasan terbuka.
#Indonesia
#gempa bumi
#mangsa
#tanah runtuh
#cedera
#angka korban
#Jabatan Meteorologi Malaysia
#Mamuju
#video
#maut