Gempa Sulawesi: Angka korban meningkat kepada 84

Agensi
Januari 18, 2021 20:32 MYT
Gempa di Kepulauan Sulawesi Indonesia Jumaat lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 84 mangsa setakat Isnin. - Gambar AP
KEJADIAN gempa bumi di Kepulauan Sulawesi Indonesia Jumaat lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 84 mangsa setakat Isnin, menurut agensi pencarian dan penyelamat, Basarnas.
Pegawai Basarnas, Didi Hamzar mengesahkan perkara itu dalam sidang media pada Isnin, sambil operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan.
Dalam pada itu, menurut ketua Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) Indonesia, operasi penyelamat bertugas tanpa henti demi mencari lebihan mangsa yang mungkin tersekat di bawah bangunan runtuh.
Gempa bumi berskala 6.2 magnitud yang melanda Barat Sulawesi awal pagi Jumaat telah menyebabkan ribuan mangsa lari dari kediaman mereka di mana lebih 300 mangsa mengalami kecederaan teruk.
Sementara itu, lapor Reuters, gempa besar yang diikuti dengan beberapa gempa susulan telah mengakibatkan kerosakan ratusan buah rumah, sebuah pusat beli belah, hospital dan beberapa hotel.
Agensi meteorologi negara telah memberi amaran gempa susulan selain risiko cuaca buruk yang mungkin berlaku dalam beberapa minggu ini.
#angka korban #mangsa #gempa bumi #Indonesia #Sulawesi #Basarnas #Didi Hamzar
;