Gempa Sulawesi: Angka kematian cecah 90, Jokowi ikrar bina semula bandar yang musnah
Agensi
Januari 20, 2021 15:07 MYT
Januari 20, 2021 15:07 MYT
JAKARTA: Indonesia akan bina semula kediaman dan bangunan yang musnah akibat gempa bumi kuat yang melanda Sulawesi minggu lalu, ujar Presiden Joko Widodo atau Jokowi pada Selasa, ketika angka kematian akibat tragedi itu mencecah 90 orang dan ribuan lagi tinggal sehelai sepinggang.
Reuters melaporkan, gempa bumi sekuat 6.2 magnitud pada Jumaat lalu itu mengakibatkan kerosakan teruk pada ratusan buah rumah, pusat beli-belah, hotel dan bangunan kerajaan. Sejak itu, terdapat 39 gegaran susulan direkodkan.
"Tidak lama lagi kerajaan pusat akan membina semula (kemusnahan itu). Bagi yang mengalami kemusnahan pada kediaman mereka, bantuan akan diberikan," ujar Jokowi ketika melawat bandar Mamuju pada Selasa.
Pemerintah Indonesia akan memberikan sejumlah 50 juta Rupiah (RM14,409) bagi membina semula rumah yang rosak teruk, manakala kediaman yang mengalami kerosakan sederhana atau kecil, bantuan sebanyak 25 juta (RM7,204) dan 10 juta Rupiah (RM2,882) akan diberikan.
"Kami berharap dengan bantuan kerajaan pusat, proses membaik pulih rumah yang runtuh, pemulihan ekonomi, proses perkhidmatan kerajaan dan birokrasi akan kembali seperti sediakala,” ujarnya.
Terdahulu pada Selasa, seorang pegawai tentera yang merupakan sebahagian daripada anggota pasukan pencari dan penyelamat, berkata bahawa hampir 10,000 orang telah dipindahkan dari Mamuju dan bandar berdekatan, Mejene.
Kebanyakan daripada mereka melarikan diri ke Parepare, sebuah bandar yang terletak sejauh 250 kilometer di selatan Mamuju.
Terletak dalam LIngkaran Api Pasifik, Indonesia sering dilanda gempa bumi. Pada 2018, gegaran sekuat 7.5 magnitud dan tsunami telah melanda Palu, di Sulawesi hingga menyebabkan ribuan orang terkorban.
Agensi meteorologi negara itu memberi amaran tentang gegaran susulan, dan risiko cuaca ekstrem pada minggu-minggu akan datang.
Indonesia diuji dengan rangkaian tragedi bulan ini, termasuk nahas kapal terbang pada 9 Januari yang mengorbankan 62 orang; bencana banjir di Kalimantan selatan yang meragut nyawa 15 orang, letusan gunung berapi dan gelongsoran tanah yang mengorbankan 40 orang di Pulau Jawa.
#gempa Sulawesi
#Mamuju
#Majene
#Joko Widodo
#pemerintah pusat
#jakrata
#bantuan kemanusiaa
#bina semula
#bencana alam
#tragedi
#Indonesia