Gempa Sulawesi: 45 maut, ratusan lagi cedera

Agensi
Januari 16, 2021 13:37 MYT
Pasukan penyelamat hari ini menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang dikhuatiri tertimbus bawah runtuhan bangunan. - Reuters
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 45 orang maut dan ratusan yang lain cedera akibat gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang melanda Kepulauan Sulawesi, Indonesia pada awal pagi semalam.
Pasukan penyelamat hari ini menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang dikhuatiri tertimbus bawah runtuhan bangunan.
Angka korban itu mencatat peningkatan berbanding 42 mangsa semalam (Jumaat).
Bandar Mamuju yang paling teruk terjejas akibat gempa bumi itu menyaksikan pasukan perubatan merawat ratusan mangsa yang cedera.
BACA: Indonesia keluar amaran tsunami, gempa lebih kuat di Sulawesi Barat
Menurut Agensi Bencana Indonesia, angka korban meningkat selepas penyelamat di kawasan Mamuju menemui 34 mayat di celah runtuhan bangunan.
Sekurang-kurangnya 300 rumah dan klinik kesihatan dilaporkan musnah sementara bekalan elektrik dan telefon turut tidak berfungsi.
Manakala di Bandar Majene, seramai 15,000 dipindahkan ke pusat pemindahan sementara untuk mendapat perlindungan dan bantuan.
Mangsa di beberapa kawasan bagaimanapun masih tidak menerima bantuan akibat jalan rosak dan komunikasi terputus susulan gempa bumi itu.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa pada Jumaat itu dikesan pada kedudukan 143 kilometer barat dari Palopo, Indonesia dengan kedalaman 27 kilometer.
#Indonesia #gempa bumi #Sulawesi #Mamuju #Majene #earthquake #Agensi Bencana Indonesia #bencana #pusat pemindahan
;