Gempa Ranau: Murid imbas semula detik saksikan tanah merekah, pokok tumbang
Astro Awani
Jun 9, 2015 11:28 MYT
Jun 9, 2015 11:28 MYT
Detik menunggu giliran mencuba laluan Via Ferrata di Gunung Kinabalu pada Jumaat lalu akan selamanya menjadi igauan seorang murid dari Singapura, Tristan So Kwan Wing, 12.
Pelajar Sekolah Rendah Tanjong Katong itu memberitahu kepada portal berita The New Paper Singapura bahawa keterujaannya serta-merta berubah menjadi ngeri apabila gegaran mula dirasai.
Ketika itu dia sudah tahu rombongan kembara sambil belajar sekolahnya bukan lagi suatu yang menyeronokkan.
"Semua di sekeliling kami bergegar, tanah tempat berpijak mula merekah. Pokok-pokok juga mulai tumbang," imbasnya.
Guru pengiring, kata Tristan, meminta mereka berkumpul bersama dan menundukkan kepala.
Begitupun, itu bukan penyelamat bagi menahan bongkah-bongkah batu yang mula jatuh menggelongsor ke arah mereka.
Ada daripada kawannya yang dihempap pokok, tetapi diselamatkan jurupandu pendakian.
Tristan yang hanya mengalami cedera ringan mulai memandang keliling.
Dia terkejut apabila melihat lima kawannya terbaring tidak sedarkan diri, terkulai tanpa harapan bernyawa.
"Saya lihat banyak darah di muka mereka," kata Tristan.
Sementara itu, seorang lagi murid sekolah berkenaan yang selamat, Arnaav Chabria memberitahu detik itu debu memenuhi ruang udara.
"Saya tidak mampu berfikir apa-apa," katanya yang telah pengsan selama 20 minit selepas itu.
Tersedar saja dari pengsan, Arnaav meraung kesakitan apabila menyedari tangan kanannya cedera teruk, hingga meretakkan tulangnya.
"Terlalu sakit rasanya," ujar Arnaav yang kemudian diselamatkan malim gunung.
Murid darjah enam itu kini berada bersama keluarganya dengan tangan yang berbalut. Begitupun, Arnaav masih trauma.
Tristan dan Arnaav ditemui wartawan dalam sebuah acara memperingati mereka yang terkorban di sekolah mereka. Sudut pengormatan itu turut dikunjungi tokoh politik dan atlet-atlet Sukan SEA tempatan.
Kawan Baik
Empat kawan Tristan - Ameer Ryyan Mohd Adeed Sanjay, Peony Wee Ying Ping, Sonia Jhala da Rachel Ho Yann Shiuan - adalah antara enam murid TKPS yang maut dalam bencana gempa tersebut.
Ameer merupakan salah seorang kawan baik Tristan.
Apabila mendengar khabar Ameer menjadi korban, dia terus menangis.
"Saya habiskan banyak masa dengan dia di sekolah. Kami makan dan bermain bersama-sama.
"Selepas ini keadaan tidak akan lagi dama seperti dulu. Saya rasa sepi," katanya hiba.
Mata Tristan berkaca-kaca apabila diminta bercakap tentang rakan sedarjah yang lain.
"Peony suka tersenyum," ujarnya
Sonia pula, kata Tristan, memiliki cori-ciri seorang ketua dan selalu membawa bersama aura positif ke dalam kelas.
"Dialah yang selalu memberi galakan kepada kami apabila kami hampir putus asa dengan tugasan sekolah," imbas Tristan.
Walaupun Tristan tidak begitu rapat dengan Rachel, dia dikatakan sebagai budaknperempuan yang sangat peramah.
"Walaupun ada kawan-kawan saya yang kini telah tiada, mereka tetap saya ingati," katanya.