Gempa Nepal: Warga emas panjat gunung untuk ucap terima kasih

Mariah Ahmad
Mei 10, 2015 11:42 MYT
Dev Maya memanjat gunung sambil berkaki ayam semata-mata untuk mengucapkan terima kasih kepada para doktor dari Malaysia yang merawatnya susulan gempa bumi di Nepal baru-baru ini.
Senyuman seorang warga emas berusia 72 tahun hingga ke cuping ini masih mekar dalam ingatan saya.
Ketika itu pasukan Misi Bantuan Perubatan Global Expedition Club (GEC) berada di sebuah perkampungan Chanaute yang terletak kira-kira 500 meter daripada Klinik Bergerak GEC yang dijalankan di Pusat Pembangunan Masyarakat Perkampungan Baramche, Chanaute.
Perkampungan di kawasan pergunungan yang kira-kira 2,000 meter dari paras laut ini terletak di daerah Sindhupalchowk dan mengambil masa sekitar enam jam perjalanan dari ibu kota Nepal, Kathmandu.
Para doktor yang menyertai misi sukarelawan ini mendaki gunung ke kawasan perkampungan itu untuk melihat beberapa pesakit yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas yang berada di kawasan perkampungan di pergunungan itu.
Selepas lebih satu jam kami berada di situ, ketika para doktor sedang sibuk melihat keadaan pesakit, terdapat seorang warga tua, berjalan mendekati kami.
Orangnya rendah sahaja, berbadan bongkok dan membawa satu bagasi kanvas berwarna hijau sambil berkaki ayam.
Ada satu perbuatan yang konsisten sahaja frekuansinya daripada warga emas ini, iaitu senyuman manisnya.
"Eh, ini bukan makcik yang datang klinik pagi tadi ke?" bisik hati saya sambil memegang sebuah telefon pintar untuk merekodkan situasi di perkampungan itu.
Dia mendekati Dr Sathya Prabha Nair, 32, yang ketika itu sedang memeriksa seorang pesakit bersama Dr Lee Hong Nien, juga 32 tahun.
Sudah pasti antara cabaran yang terbesar adalah berlainan bahasa, namun ia tidak menyekat untuk para doktor dari Malaysia ini untuk berkomunikasi dengan pesakit di sini.
Mereka cuba memahami apa yang diadu pesakit mereka dengan gerak tubuh dan mimik muka pesakit serta juga dengan bantuan terjemahan bahasa oleh beberapa penduduk yang boleh berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris di sini.
Ketik para doktor sedang sibuk mencari ubat-ubatan dalam bagasi, tangan kanan warga emas yang bernama Dev Maya, 72 tahun ini mengapai lengan Dr Prabha, sebagai tanda untuk menyapa.
Dev Maya memanjat gunung sambil berkaki ayam semata-mata untuk mengucapkan terima kasih kepada para doktor dari Malaysia yang merawatnya susulan gempa bumi di Nepal baru-baru ini. - Astro AWANI/Mariah Ahmad
Ketika dia sedang bercakap dalam bahasa Nepal, tangan kanannya memegang dagu dan pipinya. Mimik muka warga emas ini masih kekal dengan senyumannya.
Dia kemudiannya meletakan bagasi kanvas hijaunya itu dan mengeluarkan sesuatu daripada kain yang diikat di perutnya. yang yang dikeluarkannya.
Dia menunjukkan plastik-plastik ubatan itu kepada kami.
Ketika itu kami bersama seorang wakil badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan beliau berkata Dev Maya sangat gembira kerana kesakitan yang dialaminya berkurangan berikutan rawatan yang diterimanya.
"Dia beritahu dia sangat gembira. Dia kata sudah hilang rasa sakit dan dia datang sini hanya semata-mata untuk mengucapkan terima kasih kepada doktor yang merawatnya," ujar wakil NGO itu
hanya mahu dikenali sebagai Vishnu.
Klip video kumpulan misi perubatan GEC di Chanaute, Nepal
Catatan ini ditulis oleh Mariah Ahmad pada 7 Mei 2015, 9.11 pagi ketika berada di Pusat Pembangunan Masyarakat Perkampungan Baramche, Chanaute.
#bantuan #Doktor #gec #Nepal #perubatan #warga emas
;