Gempa Maluku: Angka kematian meningkat kepada 23 mangsa
Agensi
September 27, 2019 20:43 MYT
September 27, 2019 20:43 MYT
ANGKA kematian akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan wilayah Maluku di Indonesia pada Khamis meningkat kepada 23 orang.
Memetik laporan AP, gempa berukuran 6.5 magnitud itu turut menyebabkan lebih 500 penduduk tempatan kehilangan tempat tinggal akibat kerosakan kediaman dan bangunan.
Puluhan yang lain pula dilaporkan cedera dan kini menerima rawatan oleh pasukan perubatan yang turut mendirikan khemah sementara bagi merawat mangsa.
Menurut seorang doktor yang berkhidmat di sebuah hospital di wilayah Tulehu, Hasnawati Rasyad, khemah sementara yang didirikan pihak hospital turut mengalami kerosakan teruk akibat gempa tersebut.
Foto yang dikongsi menerusi media sosial dan media tempatan turut memaparkan kerosakan teruk yang dialami penduduk setempat di wilayah tersebut.
Pada masa sama, lebih 500 mangsa termasuk ibu mengandung dan kanak-kanak kehilangan tempat tinggal dan kini sedang menanti penempatan sementara.
Bantuan kecemasan seperti makanan dan pakaian dihulurkan buat mangsa.