Gempa Lombok: Seorang lagi rakyat Malaysia yang maut dikenal pasti
Nursyazwani Saiful Sham
Mac 17, 2019 07:29 MYT
Mac 17, 2019 07:29 MYT
Seorang lagi rakyat tempatan yang disahkan maut dalam kejadian tanah runtuh di kawasan Air Terjun Kelep Senaru, Lombok, pasca gempa bumi di pulau itu petang Ahad dikenal pasti sebagai Lim Sai Wah.
Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dalam satu kenyataan mengesahkan dua warganegara Malaysia terkorban dalam tragedi itu.
Salah seorang lagi merupakan Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif sebuah akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, sejumlah 40 pelancong termasuk warganegara Malaysia yang sedang menikmati keindahan lokasi Air Terjun Tiu Kelep, Desa Senaru, Lombok Utara pada Ahad berdepan situasi cemas apabila gempa bumi yang melanda wilayah tersebut menyebabkan kesan tanah runtuh.
Difahamkan, terdapat 22 pelancong rakyat Malaysia berada di lokasi alam semula jadi itu sewaktu kejadian berlaku.
Sementara itu, Pegawai Kedutaan dijangka tiba di Lombok pagi ini untuk menghulurkan bantuan konsular kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam tragedi tersebut.
“Rakyat Malaysia yang berada di Indonesia atau ingin merancang perjalanan ke negara itu untuk mendaftar dengan pihak kedutaan melalui pautan ini, https://goo.gl/ixYVfy .
“Warganegara Malaysia adalah dinasihatkan untuk sentiasa tenang dan mematuhi arahan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Warganegara Malaysia lain yang berada di Lombok atau kawasan sekitar yang terkesan susulan gempa bumi ini boleh menghubungi Pegawai Bertugas Kedutaan Besar Malaysia di talian +62 813 80813036.