Gempa Lombok: BMKG Indonesia kesan 85 kali gempa susulan
Astro Awani
Julai 29, 2018 05:57 MYT
Julai 29, 2018 05:57 MYT
Masyarakat tempatan di sekitar Pulau Lombok, Indonesia diminta berwaspada terhadap kemungkinan ancaman gempa susulan, meskipun diramal dalam skala lebih kecil.
Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Badan Meteorologi, Klimatalogi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia Dwikorita Karnawati, seperti yang dilaporkan portal berita Kompas.com.
Pada awal pagi Ahad, satu kejadian gempa bumi dengan kekuatan 6.4 skala Richter melanda pulau pelancongan itu hingga mengorbankan 16 nyawa, termasuk seorang rakyat Malaysia, manakala sekitar 200 orang cedera.
Gegaran turut dirasai di Pulau Bali dan Sumbawa.
Ratusan pendaki yang berada dalam laluan pendakian di kawasan Gunung Rinjani juga dalam keadaan berwaspada dan mula mempercepatkan pergerakan mereka menjauhi lokasi berisiko.
"Hingga jam 11 pagi Ahad, telah terjadi 85 kali gempa susulan dengan magnitud terbesar 5.7 pada skala Richter. Kami meminta masyarakat untuk tetap berwaspada namun tetap tenang dan jangan panik," kata Dwikorita kepada portal berkenaan.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya pada sebarang khabar angin berkenaan kejadian berkenaan.
BMKG terus memantau perkembangan gempa dari Pusat Gempa Nasional (PGN) Jakarta.
Dwikorita menjelaskan, hasil analisis BMKG mendapati gempa bumi di Lombok terjadi akibat aktiviti pergerakan Sesar Naik Flores.