Gempa Lombok: Angka kematian meningkat kepada 387
Agensi
Ogos 11, 2018 17:19 MYT
Ogos 11, 2018 17:19 MYT
Angka kematian akibat gempa bumi di Lombok mencecah 387 kata pihak berkuasa pada Sabtu.
Tambahnya ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal dan berhadapan masalah kekurangan air bersih, makanan dan ubat selepas hampir seminggu.
Sementara itu, Pasukan Tentera Udara Indonesia telah menghantar 90 tan bekalan keperluan kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian gempa bumi tersebut.
Bekalan keperluan termasuk makanan, ubat-ubatan dan alatan perkhemahan akan diedarkan dalam tempoh terdekat.
Terdahulu, kira-kira 390,000 penduduk di Lombok hilang tempat berteduh selepas kejadian alam yang telah memusnahkan lebih 68,000 kediaman.
Gempa bumi berukuran 6.9 magnitud Ahad lalu meranapkan puluhan ribu rumah, masjid dan premis perniagaan seluruh Lombok.
Kejadian tersebut berlaku seminggu selepas satu lagi gegaran melanda kepulauan itu yang mengorbankan 17 orang.
Menurut jurucakap gensi bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nughoro, angka kematian dijangka akan meningkat kerana masih ada mangsa yang disyaki tertimbus akibat tanah runtuh dan terperangkap di bawah runtuhan.
Buat masa ini, ramai mangsa tidur di dalam khemah berhampiran rumah yang musnah atau di pusat perlindungan, manakala kemudahan perubatan bergerak didirikan untuk merawat mangsa cedera.